Soniia Cheah dan S Kisona telah melakukan kejutan dalam acara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Manila sebentar tadi.

Kedua-dua pemain perseorangan negara itu menewaskan jaguh dari Jepun.

Namun agak malang apabila Malaysia gagal melakarkan kejutan secara keseluruhan, apabila tewas dengan skor 2-3 kepada pasukan Jepun, dalam aksi kumpulan W.

Di sebalik kekalahan itu, tetap terselit kisah kehebatan Soniia dan Kisona.

Soniia berjaya menewaskan Akane Yamaguchi yang merupakan pemain di ranking ketiga dunia.

Sementara itu, prospek berusia 21 tahun Malaysia, S Kisona pula menewaskan Aya Ohori. Kisona nama yang melonjak naik selepas menjadi pemenang pingat emas Sukan SEA Manila 2019.

Pemain di ranking ke-31 dunia, Soniia kemudian menyatakan beliau sangat gembira di atas kemenangannya.

Dipetik dari BH Online, Sonia berkata: “Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini. Saya juga sangat bangga dengan semangat juang tinggi ditunjukkan semua pemain biarpun secara keseluruhannya pasukan kami lebih lemah berbanding mereka.”

Seterusnya Sonia menganggap persiapan beliau dan Kisona di Thailand – berlatih bersama dengan bekas juara dunia, Ratchanok Ithanon, sangat membantu.

“Saya belajar sesuatu sepanjang latihan di Thailand, tetapi bimbingan jurulatih (Datuk Tey Seu Bock dan Loh Wei Sheng) adalah yang paling utama. Jurulatih banyak membantu dan melatih saya dengan baik sekali,” tambah Soniia lagi.

Terdahulu, Soniia yang turun sebagai perseorangan utama meletakkan Malaysia di hadapan.

Namun Jepun berjaya menyamakan kedudukan menerusi pasangan beregu mereka, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota yang menewaskan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean – straigt set.

Goh Jin Wei pula tewas di tangan Sayaka Takahashi – juga dalam straight set.

Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang menundukkan pasangan muda negara, Pearly Tan-M Thinaah 21-15, 18-21, 16-21 untuk mengesahkan kemenangan Jepun.

Pemain di ranking ke-105, S Kisona berjaya mencuri 1 mata dalam pertarungan terakhir.

Kemenangan Jepun membolehkan mereka mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan W.

Sementara itu, pasukan Malaysia turut mara ke kelompok lapan terbaik sebagai naib juara.