Semalam, laman World Of Buzz menyiarkan satu poster yang menjadi perbincangan hangat di Twitter. Tanpa kita sedari, sebenarnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama diumumkan oleh kerajaan pada 18 Mac 2020 kita telah melalui pelbagai fasa PKP selama 464 hari sekiranya dikira sehingga tarikh akhir 28 Jun ini.
PKP secara tidak langsung menyebabkan kita terpaksa mengubah gaya hidup secara total. Bekerja dan belajar dari rumah menyebabkan pergantungan kita kepada servis penghantar makanan seperti GrabFood dan Foodpanda sangat tinggi.
Shopee melihat peluang besar ini dan mahu memecahkan monopoli kedua-dua syarikat ini dengan memperkenalkan ShopeeFood di Malaysia.
Bermula di Indonesia pada April tahun ini
Sebenarnya Malaysia bukanlah pasaran pertama yang diteroka oleh ShopeeFood. Pada awal Mac lalu terdapat desas desus yang mengaitkan ShopeeFood dengan pasaran terbesar Asia Tenggara iaitu Indonesia. Lautan hijau di Jakarta yang dipenuhi oleh penunggang motorsikal GoJek dan Grab akhirnya disaingi oleh penunggang berbaju oren ShopeeFood pada bulan April.
Sekiranya diteliti lebih awal lagi, Sea Group sebenarnya memasuki pasaran penghantaran makanan di Indonesia seawal Julai 2020 dengan kerjasama ShopeePay bersama aplikasi tempatan, AtozGo. AtozGo merupakan aplikasi yang membuat penghantaran makanan dari kedai makan terpilih dalam radius pendek di sekitar bangunan pejabat dan pasar raya besar di Jakarta.
ShopeeFood bermula di Indonesia dengan memilih ibukota Jakarta sebagai tapak permulaan dan kemudiannya melebarkan sayap ke bandar-bandar besar yang lain seperti Bandung, Jogja dan Surabaya.
Pasaran penghantaran makanan bernilai RM49.4 bilion
Pandemik Covid-19 menyebabkan peningkatan nilai dagangan kasar (GMV) bagi perniagaan penghantaran makanan di Asia Tenggara secara mendadak. Menurut kajian oleh Momentum Works, pada tahun 2020 nilai dagangan kasar servis ini dinilaikan berjumlah RM49.4 bilion ($11.9 bilion) dengan Grab, FoodPanda dan Gojek mendominasi di tiga tangga teratas.
Tiga pasaran terbesar bagi penghantaran makanan adalah Indonesia, Thailand dan Singapura. Pergantungan besar penduduk Singapura terhadap servis ini dapat diterjemahkan dengan pegangan terhadap nilai dagangan kasar berjumlah 65 peratus daripada keseluruhan RM49.4 bilion. Dan jumlah ini sangat signifikan memandangkan Singapura hanya memiliki 2 peratus jumlah penduduk berbanding Indonesia.
Peningkatan GMV ini berjumlah 183 peratus sekiranya dibandingkan dengan tahun 2019, iaitu sebelum pandemik Covid-19. Di Malaysia, GrabFood dan Foodpanda bersaing rapat dengan pegangan sebanyak 52 peratus dan 48 peratus berdasarkan jumlah GMV yang bernilai RM4.57 bilion tahun lalu.
Grab, jaguh penghantar makanan di Asia Tenggara
Grab menguasai majoriti lima daripada enam pasaran terbesar Asia Tenggara iaitu di Thailand, Singapura, Malaysia, Indonesia dan Filipina. Kecuali di pasaran Singapura dengan 42 peratus pegangan dan di Vietnam pada 40 peratus, GrabFood sebenarnya mendahului pasaran dengan pegangan selesa melebihi 50 peratus di Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia.
Mereka hanya tewas tipis di pasaran penghantaran makanan Vietnam kepada Now, yang merupakan syarikat tempatan yang dimiliki oleh Sea Group sejak tahun 2017. Now bermula sebagai start up Foody iaitu laman web yang memberikan reviu makanan, ratings dan baucer sebelum dibeli dengan nilai RM266 juta oleh Sea Group seawal tahun 2017 lagi.
ShopeeFood dan pasaran tepu di Malaysia
Kami sedang mencari Rakan Penghantar ShopeeFood di Kuala Lumpur & Selangor! Jom apply kat link ni sekarang! 👉🏻 https://t.co/wQ7b6v3n8w
Boleh refer kat bawah untuk syarat kelayakan 🛵⬇️#ShopeeMY pic.twitter.com/h4tgMTVQ1U
— Shopee Malaysia (@ShopeeMY) June 23, 2021
Menurut iklan rasmi di Twitter, Facebook dan Instagram Shopee Malaysia, ShopeeFood akan bermula di Lembah Klang iaitu di Kuala Lumpur dan Selangor. Pencarian rakan penghantar ini sekaligus memberikan petanda yang mana ShopeeFood akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
Kemasukan ShopeeFood ke pasaran Malaysia ini juga dijangka akan memberikan lebih peluang pekerjaan di dalam sektor ekonomi gig sebagai rakan penghantar. Sebagai pengguna pula, kita akan menerima manfaat awal dengan pelbagai insentif baharu oleh ShopeeFood bagi memecahkan monopoli pasaran GrabFood dan Foodpanda.
Persaingan baharu ini juga akan menyebabkan GrabFood dan Foodpanda tidak boleh terus selesa untuk kekal dengan tawaran dan servis sedia ada.