Bermula 26 September 2021, kejohanan badminton Piala Sudirman yang membuka tirai secara rasmi di Vantaa, Finland. Skuad muda badminton negara turun ke Energia Areena dengan diketuai oleh kapten pasukan Lee Zii Jia.
Barisan pemain yang bakal membawa nama negara adalah S. Kosina, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei. Purata pemain Malaysia bagi edisi kali ini berusia 22 tahun.
Pencapaian terbaik Malaysia di Piala Sudirman ialah kejayaan melangkah ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China. Ketika edisi terakhir pada 2019 di Nanning, China, skuad negara terkandas di peringkat suku akhir. Kejohanan Piala Sudirman kali ini merupakan penganjuran edisi ke-17.
Sejarah disebalik nama kejohanan Piala Sudirman
Piala Sudirman merupakan salah satu kejohanan badminton berprestij di peringkat antarabangsa. Ia mempunyai kelasnya yang tersendiri sama seperti Kejohanan Dunia BWF, Piala Thomas dan Piala Uber. Edisi pertama kejohanan Piala Sudirman dianjurkan pada tahun 1989 di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia.
Kejohanan ini dinamakan sebagai Piala Sudirman bersempena dengan tokoh badminton terkenal dunia, Dick Sudirman. Beliau merupakan insan yang bertanggungjawab menubuhkan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) pada tahun 1951.
Badan sukan badminton dunia pernah menghadapi masalah apabila berlaku pertelingkahan antara beberapa anggota. Sekitar tahun 1978, terdapat dua badan berbeza iaitu persatuan asal International Badminton Federation (IBF) dan World Badminton Federation (WBF).
Atas usaha Dick Sudirman, pertelingkahan antara kedua-dua IBF dan WBF berjaya dileraikan. Kedua-dua badan badminton tersebut dibubarkan dan membentuk Badminton World Federation (BWF) pada tahun 1981. Bagi mengenang usaha penyatuan tersebut, kejohanan Piala Sudirman diperkenalkan oleh sahabat karibnya, Suharso Suhandinata.
Pada hari ini, BWF dianggotai oleh 197 buah negara.
Dominasi China sepanjang kejohanan Piala Sudirman
Sepanjang 16 edisi Piala Sudirman sebelum ini, China berjaya mendominasi dengan 11 kejuaraan. Diikuti dengan Korea dengan empat kejuaraan dan Indonesia sebanyak satu kejuaraan.
Piala Sudirman belum pernah dimenangi oleh mana-mana pasukan dari negara di benua Eropah. Berikut merupakan senarai edisi Piala Sudirman dan juga negara pemenang 16 edisi terdahulu:
1989 – Jakarta, Indonesia; Juara – Indonesia
1991 – Copenhagen, Denmark; Juara – Korea
1993 – Birmingham, England; Juara – Korea
1995 – Lausanne, Switzerland; Juara – China
1997 – Glasgow, Scotland; Juara – China
1999 – Copenhagen, Denmark; Juara – China
2001 – Seville, Spain; Juara – China
2003 – Eindhoven, Netherlands; Juara – Korea
2005 – Beijing, China; Juara – China
2007 – Glasgow, Scotland; Juara – China
2009 – Guangzhou, China; Juara – China
2011 – Qingdao, China; Juara – China
2013 – Kuala Lumpur, Malaysia; Juara – China
2015 – Dongguan, China; Juara – China
2017 – Gold Coast, Australia; Juara – Korea
2019 – Nanning, China; Juara – China