Akhir-akhir ini, terdapat banyak kes penjualan tanah lot dengan menggunakan perkongsian geran. Kegiatan ini juga dikenali dengan nama pembelian lot lidi.
Apakah yang dimaksudkan dengan lot lidi?
Lot lidi adalah sebidang tanah yang mempunyai geran yang sah, tetapi kemudiannya dipecah-pecahkan kepada lot yang lebih kecil untuk dijual semula dengan tujuan untuk membina rumah. Kebiasaannya, lot tanah tersebut merupakan tanah berstatus pertanian.
Harga rumah yang semakin mahal dikatakan menjadi punca utama beralihnya minat pembeli terhadap pembelian lot lidi berbanding hartanah-hartanah lain.
Tanda-tanda urusan jual beli membabitkan lot lidi
1 – Tiada geran individu, hanya geran yang dikongsi bersama pembeli-pembeli yang lain.
2 – Status tanah iaitu pertanian tetapi dijual atas nama lot rumah atau lot banglo.
3 – Transaksi jual beli tanah lot tersebut tidak mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang betul, hanya pembelian yang diperakui dengan surat ikatan amanah sahaja.
4 – Pembelian juga tidak boleh dibuat menggunakan pinjaman perumahan. Pembeli selalunya disaran untuk membuat pinjaman peribadi.
Kesan dan risiko pembelian lot lidi
1 – Nama pembeli tiada dalam geran
Pada kebiasaannya, hanya nama pemegang amanah bagi kesemua pemilik-pemilik lot lidi berada di dalam geran.
Sebagai contoh jika ada 10 orang pembeli lot lidi di dalam satu kawasan, nama pemegang amanah akan tertera di dalam geran sebagai mewakili baki sembilan pembeli yang lain.
Kadangkala, pemegang amanah ini merupakan salah seorang daripada pembeli lot lidi atau juga pemilik asal tanah berkenaan. Ketiadaan nama di dalam geran menyebabkan pembeli-pembeli yang lain tiada punca kuasa yang sah disisi Kanun Tanah Negara bagi menjalankan apa-apa tuntutan terhadap tanah tersebut.
2 – Sukar untuk melakukan apa-apa transaksi
Sebagai pemilik lot lidi, anda tidak mempunyai punca kuasa yang sah terhadap pemilikan lot tersebut, melainkan surat ikatan amanah sahaja. Tanpa geran, adalah sukar untuk anda mencairkan aset ini. Lot lidi juga tidak boleh dicagarkan untuk mana-mana pembiayaan bank.
Tanah lot lidi juga sukar ditukar milik ataupun dijual kepada pembeli lain atas masalah yang sama.
3 – Melanggar syarat asal status tanah
Seringkali pemilik tanah terlepas pandang akan kategori dan syarat nyata tanah yang perlu mereka patuhi. Sebagai contoh, tanah berkategori pertanian dengan syarat nyata tanaman kekal (industri) hendaklah diusahakan dengan penanaman pokok-pokok seperti kelapa sawit, kelapa atau getah dan bukannya dijual semula sebagai lot perumahan.
Keadaan ini boleh menyebabkan timbulnya pelanggaran syarat tanah sepertimana digariskan dalam Seksyen 125 Kanun Tanah Negara. Kesannya, pemilik tanah boleh didenda dan tanah tersebut boleh dirampas mengikut Seksyen 130 dan dipulangkan kepada Pihak Berkuasa Negeri.
4 – Kesukaran apabila berlaku kematian
Apabila berlaku kematian terhadap pemilik amanah, tanah tersebut sudah pasti akan termasuk ke dalam pusakanya. Sudah menjadi satu masalah bagi pemilik-pemilik lain untuk menuntut semula hak mereka apabila berlakunya kematian.
Begitu juga sekiranya berlaku kematian terhadap salah seorang daripada pembeli lot lidi. Waris kepada pembeli tersebut juga terpaksa berurusan semula dengan pemegang amanah untuk memasukkan nama wakil mereka di dalam surat ikatan amanah yang baru.
Di dalam kedua-dua keadaan ini, prosesnya sangat rumit.
5 – Tiada sebarang pampasan terhadap apa-apa pengambilalihan
Di dalam beberapa keadaan, kerajaan ataupun badan berkanun seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan pihak berkuasa tempatan boleh mengambilalih tanah dengan pampasan yang dipersetujui bersama dengan penama di dalam geran.
Sudah pasti, pemilik lot lidi tidak termasuk di dalam apa-apa rundingan semasa pengambilalihan berlaku kerana mereka tidak dianggap sebagai pemilik tanah yang sah di bawah Kanun Tanah Negara.
Sebarang wang pampasan juga hanya akan dibayar kepada penama di dalam geran iaitu pemegang amanah di dalam kes lot lidi.
Pembelian lot lidi di negeri Selangor tidak diiktiraf
Semakan terhadap hansard Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020 dengan jelas sekali menyatakan bahawa:
“Pihak Kerajaan Negeri tidak pernah mengiktiraf penjualan dan pemilikan tanah lot lidi di Negeri Selangor. Ini adalah kerana, penjualan tanah lot lidi jelas melanggar syarat nyata tanah itu sendiri di mana tanah-tanah lot lidi yang dijual adalah bersyarat nyata “Pertanian” yang tidak dipohon tukar syarat atau pecah sempadan di Pejabat Tanah dan Daerah. Penjualan tanah secara lot lidi ini mengundang pelbagai masalah kepada pembeli berikutan ketiadaan geran individu dan urusan jual beli hanyalah berdasarkan “Surat Ikatan Amanah” sahaja. ”
Maka, sebarang urusan jual beli lot lidi sebenarnya tidak diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Negeri.