Seorang rider delivery bermotosikal di Singapura meraih pendapatan sebanyak SGD7,095 (RM21,814.34) sebulan susulan penularan wabak COVID-19.
Walaupun kerajaan Singapura masih belum mewajibkan sekatan perjalanan ke atas penduduk Singapura pada Mac lepas, sudah banyak penduduk membuat kuarantin sendiri di rumah. Ini menyebabkan permintaan pesanan makanan melalui aplikasi smartphone meningkat.
Apabila permintaan meningkat, pendapatan penghantar makanan juga meingkat.
Ini dibuktikan apabila Deliveroo, salah sebuah syarikat penghantaran pesanan makanan di Singapura, mendedahkan seorang penghantarnya meraih pendapatan SGD7,095 (RM21,814.34) pada Mac lepas.
Deliveroo bagaimanapun tidak memberitahu berapa banyak perjalanan yang dibuat oleh rider delivery yang rajin ini.
Bagaimanapun media Singapura sebelum ini ada melaporkan seorang lagi penghantar makanan bermotosikal Deliveroo yang meraih SGD4,200 (RM12,906) sebulan. Pendapatan itu diraih selepas membuat kira-kira 450 perjalanan.
Pengiraan matematik mudah menunjukkan untuk meraih SGD7,095 (RM21,814.34), penghantar makanan tersebut perlu membuat kira-kira 760 perjalanan sebulan atau 25 perjalanan sehari!
Berbeza dengan penghantar makanan lain di Singapura, penghantar makanan Deliveroo dapat diskaun petrol (Caltex), makanan, minuman dan insurans kemalangan dan liabiliti pihak ketiga secara percuma.
Deliveroo melaporkan mereka kini mempunyai kira-kira 5,000 penghantar makanan pada awal 2019. Jumlah itu bertambah 30% menjelang hujung 2019.
Permohonan untuk menjadi penghantar makanan Deliveroo naik 80% pada bulan Mac, ketika wabak COVID-19 memuncak di Singapura.
Seminggu kemudian, kerajaan Singapura menguatkuasakan ‘circuit breaker’.
Circuit breaker merupakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) versi Singapura. Ia dikuatkuasakan oleh Perdana Menteri mereka, Lee Hsien Loong bermula 7 April hingga 4 Mei.
Seperti PKP, circuit breaker mensyaratkan penduduk untuk sentiasa duduk di rumah kecuali jika ada urusan penting seperti pergi ke hospital atau membeli barang keperluan.
Bagaimanapun berbeza dengan PKP, circuit breaker masih membenarkan penduduknya untuk keluar beriadah seperti berjoging atau menaiki basikal – dengan syarat, ia mesti dilakukan secara berseorangan.