Rakyat China menggunakan media sosial untuk menggesa kerajaan mereka untuk rampas Taiwan ketika dunia sedang sibuk mengurus krisis COVID-19.
Majoriti pengguna Weibo dan WeChat mengharapkan kerajaan mereka mula bertindak menjajah semula Taiwan untuk disatukan dengan China secara paksa – satu hasrat yang Beijing tak pernah nafikan.
Bagaimanapun kerajaan China menegaskan mereka tidak akan mengambil keputusan ‘terburu-buru’. Sebaliknya mereka menggunakan sejarah kejayaan Dinasti Qing menjajah kepulauan Taiwan pada abad ke-17 sebagai contoh mengapa mereka perlu bersabar dan merancang sebaiknya.
Bagaimana kesabaran Dinasti Qing berjaya menawan Taiwan
Dinasti Qing yang berasal dari Manchuria merampas kuasa Dinasti Ming di Beijing dan utara China pada tahun 1644 sebelum mula meluaskan kuasanya di beberapa wilayah China lain beberapa dekad selepas itu.
Apabila Dinasti Ming tewas, mereka lari ke Taiwan pada tahun 1662. Mereka berjaya menewaskan penjajah Belanda yang menjajah Taiwan pada ketika itu untuk duduk di sana.
Menyedari keperluan untuk menghapuskan saki-baki Dinasti Ming di Taiwan, Qing merangka strategi untuk menawan semula Taiwan selama 20 tahun. Semuanya dilakukan melalui langkah politik, diplomatik dan ekonomi berbanding menggunakan tentera.
Antara strateginya adalah dengan mendapatkan sokongan etnik Han yang pada ketika itu duduk di Taiwan di bawah pemerintahan penjajah Belanda.
Dinasti Qing menawarkan insentif pulang ke Tanah Besar China dan membalas dendam terhadap penjajah Belanda yang mengenakan cukai tinggi jika membantu mereka.
Pada masa yang sama, Dinasti Qing juga giat melatih tentera. Akhirnya pada tahun 1683, Dinasti Qing berjaya menakluki Taiwan.
“Masa sesuai untuk ambil semula Taiwan”
Baru-baru ini, South China Morning Post melaporkan peningkatan sentimen nasionalisme dari orang awam dan bekas komander tentera China yang mahukan Beijing mula rampas Taiwan semula.
Beberapa bekas pemimpin tentera China memberitahu sekarang adalah masa terbaik untuk merampas China kerana Amerika Syarikat – yang pasti akan membantu Taiwan dari segi ketenteraan – tidak boleh berbuat begitu.
Ini kerana, ketika ini keempat-empat kapal induk tentera Amerika Syarikat di Laut Pasifik sedang ‘berperang’ dengan wabak COVID-19.
Seorang pensyarah sains politik di Beihang University, Tian Feilong pula memberitahu kerajaan China mempunyai hak untuk menggunakan kekuatan tenteranya di Taiwan kerana adanya undang-undang ‘anti-pemisahan’ yang diratifikasi pada tahun 2005.
“Situasi politik di Taiwan menjadikan usaha menyelesaikan masalah ini dengan aman jadi mustahil. Model ‘satu negara, dua sistem’ yang digunapakai kerajaan China di Hong Kong pula telah terbukti tidak berkesan,” jelas Feilong.
Komunikasi antara Beijing dengan Taipei terhenti pada tahun 2016 apabila Tsai Ing-wen dilantik menjadi Presiden Taiwan. Democratic Progressive Party yang diwakilinya memperjuangkan idea kemerdekaan Taiwan daripada China.
Bagaimanapun ada juga beberapa individu yang senada dengan Beijing bahawa sekarang bukanlah masa untuk menawan Taiwan.
“Kita patut tunggu sehingga kita mempunyai kekuatan ekonomi dan tentera yang setaraf dengan Amerika Syarikat sebelum boleh mula menawan Taiwan dengan tentera. Sekarang, ia terlalu berbahaya,” tulis bekas jeneral tentera udara China, Qiao Liang di WeChat.
Beijing mahu ambil Taiwan dengan aman
Pihak tentera China bagaimanapun menekankan pendekatan keamanan tetap menjadi pilihan mereka ketika ini.
“Kerja paling susah sebenarnya adalah mengekalkan stabiliti dan kemakmuran Taiwan selepas usaha penyatuan dilakukan. Ini kerana majoriti orang Taiwan mahu status quo mereka dikekalkan,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan China.
China sedar untuk menyatukan semula Taiwan, mereka perlu menunggu sehingga pemerintahan Democratic Progressive Party pimpinan Ing-wen hilang kuasa dan memastikan Parti Kuomintang di sana kekal menjadi pembangkang sahaja.
Berdasarkan sejarah, Taiwan dihuni oleh penyokong Parti Kuomintang China yang kalah kepada Parti Komunis China semasa perang saudara yang berlaku selepas Perang Dunia Kedua.
Polisi ‘One China’ yang dipersetujui Taiwan dan China pada tahun 1992 mengukuhkan lagi tuntutan China terhadap Taiwan.