Minggu lalu, Facebook mengumumkan kerjasama mereka dengan syarikat penstriman Spotify bagi menghasilkan Project Boombox. Boombox membolehkan muzik dari akaun Spotify anda distrim secara terus dari aplikasi Facebook.
Boombox membolehkan pendengar Spotify berkongsi secara terus lagu kegemaran mereka ke paparan susur masa Facebook. Manakala pengguna Facebook yang memiliki akaun Spotify sama ada berbayar atau percuma, boleh turut mendengar lagu tersebut tanpa meninggalkan aplikasi Facebook.
Selain itu juga, Boombox membolehkan pemuzik yang baru meningkat naik untuk berkongsi hasil karya baharu mereka di Facebook dan mendapatkan pendengar dari kalangan pengikut mereka. Begitu juga dengan penghasil kandungan berbentuk audio yang boleh berkongsi perbincangan podcast mereka terus ke Facebook. Bagi mendapatkan mini-player ini, anda perlu mempunyai aplikasi Spotify di dalam telefon pintar.
Adakah Spotify akan berkongsi hasil pendapatan pendaftaran baharu bagi mereka yang mendaftar melalui Boombox ini? Jawapannya tidak sama sekali. Ini kerana, sebarang pendaftaran masih perlu melalui aplikasi Spotify dan pembayaran royalti kepada pemuzik juga tidak akan ditanggung oleh Facebook. Dari sudut perniagaan, Spotify dapat menggunakan data pengguna Facebook yang besar untuk menarik pelanggan baharu.
Facebook pula memerlukan cara baharu bagi mengekalkan pengguna di susur masa bagi tempoh masa yang panjang. Perkongsian ini membolehkan pengguna tidak meninggalkan Facebook dalam masa yang singkat, hanya kerana mahu menstrim lagu di Spotify yang dilihat di susur masa mereka.
Apa yang pasti, situasi menang-menang ini terhasil atas usaha kedua-dua syarikat yang telahpun mula bekerjasama sejak 2011 lagi.