Sebarang perjalanan keluar rumah untuk membeli makanan, barangan keperluan harian dan perubatan tidak dibenarkan melebihi radius 10km bermula fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Kedua yang bermula pada 1 April hingga 14 April ini.
Arahan tersebut dikeluarkan oleh kerajaan dan disenaraikan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Selain tidak boleh melebihi 10km, individu yang keluar rumah tidak dibenarkan membawa penumpang atau orang lain melainkan jika betul-betul mustahak.
Peraturan itu juga menetapkan jika seseorang individu perlu bergerak dari satu tempat ke tempat lain ‘atas sebab munasabah, individu tersebut perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari pegawai polis bertugas di balai polis berdekatan dengan tempat tinggal pemohon.
Pergerakan orang ramai juga dihadkan hanya untuk tujuan pembekalan atau penghantaran makanan, keperluan harian, perubatan, mendapatkan khidmat perubatan atau untuk menjalankan tugas dalam bidang mustahak.
Di bawah peraturan baru ini, jumlah bidang mustahak di bawah PKP juga telah dikurangkan kepada sepuluh sahaja, termasuk servis makanan, air, tenaga, komunikasi dan internet.
Selain itu, servis sekuriti, kumbahan, perbankan, e-dagang, logistik, kesihatan dan perubatan juga termasuk dalam salah satu daripada sepuluh bidang mustahak.
Peratutan itu juga menegah sebarang penganjuran dan penglibatan sebarang perhimpunan di premis awam. Ini termasuk untuk tujuan keagamaan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan.
Setiap rakyat juga, termasuk penduduk tetap atau ekspatriat yang baru tiba dari luar negra, perlu menjalani ujian kesihatan sejurus selepas tiba di Malaysia sebelum menuju ke pintu imigresen. Mereka juga perlu mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa.
Sesiapa yang didapati bersalah melanggar peraturan ini boleh didakwa dan dihukum denda tak melebihi RM1,000 atau penjara tak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.