Ketika dunia diramal akan berhadapan dengan kemelesetan ekonomi paling buruk ketika ini, banyak perniagaan yang terpaksa ditutup dan gulung tikar. Sesetengah darinya pula terpaksa meminjam wang untuk memastikan urusniaga dapat diteruskan.
Seorang pengurus kelab malam berusia 28 tahun dari Puchong, mengambil jalan pintas untuk menamatkan riwayatnya dengan terjun dari bangunan rumah apartmen yang didiami olehnya sendiri.
Lelaki tersebut difahamkan berasa kecewa kerana kegagalannya membayar semula wang yang dipinjam daripada rakan-rakan dan ahli keluarga.
Mayat pemuda tersebut ditemui pada jam 2 petang semalam dan turut ditemui satu nota bunuh diri yang ditulis mendiang untuk menjelaskan sebabnya mengambil tindakan drastik tersebut.
Menurut laporan sebuah laman berita, pengurus itu telah membuat pinjaman wang dengan niat untuk membayar semula hutang-hutang yang ada tetapi telah terperangkap dalam satu penipuan yang dilakukan oleh seorang lelaki tua yang menyamar sebagai wakil pihak bank.
Kerugian yang terpaksa ditanggung olehnya akibat terpedaya dengan penipuan tersebut bernilai ribuan ringgit.
“Ayah, ibu, saya mohon maaf kerana menjadi manusia yang gagal. Saya berasa sungguh tertekan sekarang ini.”
“Saya telah ditipu oleh scammer yang licik. Saya merancang untuk bayar semula hutang-hutang tetapi dia telah menipu semula wang hasil simpanan saya selama ini.”
“Saya selalu mahu berikan anda berdua yang terbaik. Tetapi saya tidak berdaya untuk mengusahakannya lagi. Saya telah gagal. Saya akan jadi anak kamu lagi dalam kehidupan yang akan datang. Maafkan saya. Saya sayang kamu berdua.”
Dalam nota yang ditulis itu juga, mendiang memohon maaf kepada rakan-rakannya dan berterima kasih kerana mempercayainya dalam waktu-waktu yang sukar.
Netizen yang mengikuti kisah lelaki ini ternyata berang dengan lelaki tua yang melakukan penipuan tersebut dan meminta agar tindakan undang-undang dikenakan terhadapnya. Walaupun begitu, identiti penipu tersebut masih lagi tidak didedahkan.
Dalam keadaan yang tidak menentu kerana wabak COVID-19 dan kesukaran ekonomi ketika ini, pasti ramai orang yang merasai tekanannya. Jika anda perlukan bantuan dan sokongan, sila hubungi ahli keluarga atau rakan-rakan rapat yang memahami. Anda juga boleh menghubungi Befrienders di talian 03-79568145.
Baca juga artikel menarik kami yang lain: