Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan sebelum ini, kelulusan akan diberikan secara automatik bagi moratorium kepada peminjam yang memohon kepada bank masing-masing. Permohonan untuk mendapatkan kemudahan bayaran balik pinjaman atau moratorium untuk tempoh enam bulan akan dibuka bermula hari ini.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan memaklumkan, peminjam individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro yang terjejas akibat Covid-19 boleh mula memohon moratorium selama enam bulan mulai 7 Julai 2021. Moratorium ini adalah selaras dengan pengumuman tentang Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi kesemua permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah tiada sebarang dokumen sokongan yang diperlukan, baik melibatkan pinjaman kepada individu, perusahaan mikro ataupun perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Berikut merupakan contoh program moratorium daripada dua bank terpilih yang telah mengeluarkan garis panduan permohonan setakat pagi ini.

Moratorium oleh Maybank

Kredit gambar: https://www.theedgemarkets.com/article/maybank-temporarily-closes-69-branches-due-mco

Maybank menyediakan dua pelan bantuan pembayaran iaitu kepada peminjam individu dan juga peminjam dari golongan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Bagi moratorium kepada peminjam individu, terdapat dua pilihan bantuan pembayaran yang disediakan iaitu:

Pilihan pertama: Penangguhan ansuran bayaran pinjaman(moratorium) selama enam bulan; atau

Pilihan kedua: Pengurangan ansuran bayaran pinjaman sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Kedua-dua pilihan di atas terpakai kepada pinjaman-pinjaman kepada pelanggan individu seperti berikut:

  1. Mortgage Loan/Financing-i (Pinjaman perumahan)
  2. Personal Loan/Financing-i (Pinjaman peribadi)
  3. Overdraft/Cashline-i (Overdraf)
  4. ASB Loan/Financing-i (Pinjaman pelaburan ASB)
  5. Education Loan/Financing-i (Pinjaman pendidikan)
  6. Hire Purchase Loan/Financing-i (Pinjaman pembelian kenderaan)

Sekiranya anda mempunyai tunggakan kad kredit sama ada Credit Card/Credit Card-i, pula, pilihan yang diberikan oleh Maybank adalah pembayaran semula selama 36 bulan.

Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh Maybank untuk pelanggan individu memohon moratorium ini. Anda boleh menghantar e-mel ke [email protected] untuk memohon, menghubungi talian 1-300 88 6688 dan pilih 1 untuk bantuan pembayaran, hadir sendiri ke cawangan Maybank dengan membuat temujanji di Maybank EzyQ dan juga memohon melalui Maybank2u. Namun begitu, pilihan untuk membuat permohonan moratorium di Maybank2u akan bermula pada 20 Julai 2021.

Bagi moratorium kepada peminjam golongan usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terdapat dua pilihan bantuan pembayaran yang disediakan iaitu:

Pilihan pertama: Penangguhan ansuran bayaran pinjaman(moratorium) selama enam bulan; dan

Pilihan kedua: Pengurangan ansuran bayaran pinjaman sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Kedua-dua pilihan di atas pula terpakai kepada pinjaman-pinjaman kepada pelanggan usahawan seperti:

  1. SME Term Loan/Financing-i (Pinjaman perniagaan)
  2. Business Hire Purchase Loan/Financing-i (Pinjaman pembelian kenderaan perniagaan)

Selain itu juga, Maybank turut menyediakan pelan moratorium pinjaman selama enam bulan bagi pinjaman Tradeline Loan/Financing-i dan Overdraft/Cashline-i untuk pelanggan-pelanggan perniagaan.

Terdapat tiga cara yang disediakan oleh Maybank pelanggan perniagaan memohon moratorium ini. Anda boleh menghubungi talian 1-300 88 6688 dan pilih 1 untuk bantuan pembayaran, hadir sendiri ke cawangan Maybank dengan membuat temujanji di Maybank EzyQ dan juga memohon melalui Maybank2u Biz. Namun begitu, pilihan untuk membuat permohonan moratorium di Maybank2u Biz akan bermula pada 20 Julai 2021.

Moratorium oleh CIMB Bank

Kredit gambar: https://ringgitplus.com/en/blog/bank-news/operating-hours-for-cimb-branches-are-now-back-to-normal.html

Seperti Maybank, CIMB turut menyediakan pilihan moratorium untuk para pelanggan individu serta pelanggan dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro. CIMB mengkelaskan pilihan moratorium berdasarkan pinjaman yang diberikan.

  1. Pinjaman perumahan, ASB dan pinjaman peribadi: Moratorium selama enam bulan ataupun bayaran semula dengan pengurangan ansuran bayaran pinjaman sebanyak 50 peratus selama enam bulan.
  2. Pinjaman pembelian kenderaan: Moratorium selama enam bulan ataupun selama tiga bulan.
  3. Kad kredit: Bantuan Penukaran Baki membolehkan anda untuk menukarkan baki belum jelas kad kredit anda kepada pinjaman/pembiayaan berjangka sehingga 36 bulan, pada kadar faedah/caj kemudahan efektif sebanyak 13% setahun.
  4. Pinjaman perniagaan SME/Mikro: Moratorium selama enam bulan ataupun bayaran semula dengan pengurangan ansuran bayaran pinjaman sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Bagi pelanggan individu, permohonan boleh dibuat di laman web khas Payment Assistance Programme  ataupun menghubungi talian 03 6204 7788, menghantar e-mel ke [email protected] ataupun hadir sendiri ke cawangan CIMB.

Untuk pelanggan usahawan PKS dan Mikro, mereka boleh membuat permohonan di laman web khas Payment Assitance Programme SMEs.

Kelulusan automatik dan tidak akan jejaskan rekod CCRIS

Kredit gambar: https://www.propertyguru.com.my/property-guides/what-is-ccris-how-to-get-ccris-report-malaysia-12199

Menurut Bank Negara, kelulusan kepada program moratorium yang disediakan akan diberikan secara automatik. Selain moratorium, bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam. Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman web bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

Peminjam juga boleh menghubungi bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan. Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium seperti yang dicadangkan oleh Maybank dan CIMB.

Bank Negara juga menegaskan bahawa Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam juga tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada tahun 2021.