Selepas menjalankan ujian beta secara tertutup kepada pengguna Android, akhirnya Clubhouse mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan akses beta kepada pengguna di Amerika Syarikat bermula hari ini. Akses yang dimulakan di Amerika Syarikat ini akan secara perlahan-lahan dibuka kepada pengguna lain di seluruh dunia.
Menurut kenyataan mereka, untuk minggu-minggu mendatang ini adalah masa untuk mengumpul pandangan dan memperbaiki sebarang masalah yang timbul sebelum dilancarkan sepenuhnya. Bagi pengguna Android juga, Clubhouse masih menggunakan sistem jemputan, sama seperti yang dilalui oleh pengguna iOS.
Mengakui bahawa mereka sebenarnya sudah terlewat selama setahun, pihak Clubhouse bagaimanapun tidak menjangkakan sambutan hangat yang diterima oleh aplikasi ini. Sambutan tersebut menyebabkan bebanan luar jangka terhadap sistem mereka, dengan bebanan kapasiti server serta masalah pada sistem notifikasi. Ini menyebabkan Clubhouse terpaksa mengubah fokus asal mereka kepada membangunkan sumber manusia dan syarikat untuk menampung bebanan ini daripada menambah ciri lain pada aplikasi ini.
Biarpun bermula dengan hanya memfokuskan satu sistem operasi sahaja, Clubhouse kini dinilaikan berjumlah RM16,450 bilion (USD$4 bilion). Setakat April 2021, seramai 13 juta pengguna iOS telah memuat turun aplikasi ini berbanding hanya 2 juta pengguna pada Januari 2021.
Bagi pengguna Android, selain daripada menunggu ujian beta di Amerika Syarikat selesai, anda boleh mendaftar minat untuk memuat turun aplikasi Clubhouse di Google Play Store sekarang.