Pelopor kepada kewujudan fungsi popular dalam sistem komputer iaitu ‘Cut, Copy & Paste’, Larry Tesler dilaporkan telah meninggal dunia pada Isnin lalu di kediamannya yang terletak di Portola Valley, California.
Menurut sumber The New York Times, punca kematian mendiang yang berusia 74 tahun itu tidak dapat dipastikan. Isterinya bagaimanapun ada mendedahkan bahawa beliau sebelum ini mengalami kesan susulan kemalangan ketika menunggang basikal yang dihadapinya, beberapa tahun lalu.
Meskipun mendiang Tesler bukanlah individu yang sangat dikenali seantero dunia seperti Bill Gates, Steve Jobs mahupun Mark Zuckerberg tetapi sumbangannya sejak sekian lama itu telah dinikmati oleh sebahagian besar penduduk dunia sehingga ke hari ini.
Sehinggakan ada yang menyalahgunakan fungsi tersebut dengan ‘Copy & Paste’ artikel atau tulisan daripada orang lain dan kononnya dijadikan sebagai sumber tulisan sendiri. Begitu juga buat segelintir pelajar di pusat pengajian tinggi yang mahu menggunakan jalan mudah untuk menyiapkan tugasan mereka.
The inventor of cut/copy & paste, find & replace, and more was former Xerox researcher Larry Tesler. Your workday is easier thanks to his revolutionary ideas. Larry passed away Monday, so please join us in celebrating him. Photo credit: Yahoo CC-By-2.0 https://t.co/MXijSIMgoA pic.twitter.com/kXfLFuOlon
— Xerox (@Xerox) February 19, 2020
Tesler yang lahir di New York mula bekerja bersama Xerox Palo Alto Research Center (PARC) sebagai penyelidik pada tahun 1973 sehingga 1980. Ketika di Xerox Palo, beliau bersama rakannya, Tim Mott berjaya mencipta fungsi ‘cut, copy & paste’ yang diasaskan dengan kaedah di mana pengguna perlu menggunting bahagian yang diperlukan dan menampalnya ke tempat lain.
Kepakaran dimiliki Tesler telah menarik minat mendiang Steve Jobs untuk merekrutnya untuk bekerja di Apple. Bersama jenama terkenal itu, Tesler dilaporkan bekerja selama 17 tahun sehingga dilantik sebagai ketua saintis.
Mengambil keputusan untuk meninggalkan Apple sebagai ketua saintis pada tahun 2007, Tesler juga pernah bekerja dengan Amazon dan Yahoo serta turut menjadi pengasas bersama untuk perisian Stagecast.
Seperti yang diperkatakan pada awal tadi, beliau bukanlah seorang yang amat popular dalam kalangan masyarakat dunia tetapi sumbangan besarnya amat memudahkan kerja seharian kita pada tika dan saat ini.
Kredit foto: MP Mania