Semalam, seluruh negara meraikan kemenangan sulung Lee Zii Jia di Kejohanan Badminton All England. Zii Jia merangkul gelaran juara kejohanan badminton All England buat kali pertama, apabila beliau berjaya menewaskan pemain dari Denmark, Victor Axelsen di Birmingham, England. Beliau menundukkan Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 dalam perlawanan yang berlanjutan ke tiga set.

Ayuh kita singkap sejarah All England serta soroti pemain- pemain perseorangan negara yang pernah merangkul kejuaraan berprestij ini.

Kejohanan Tertua Dalam Sejarah Badminton

All England merupakan salah satu daripada kejohanan Super 1000 di dalam kalendar sukan badminton dunia. Terdapat lima jenis kejohanan di dalam kalendar tersebut iaitu World Tour Finals, Super 1000, Super 750, Super 500, dan Super 300.

Bagaikan Wimbledon kepada sukan tenis, All England merupakan kejohanan yang dianggap amat berprestij. Bermula sejak 122 tahun yang lalu, Kejohanan All England telah melalui 113 edisi, dengan edisi pertama dianjurkan di Buckingham Gate, berhampiran dengan Istana Buckingham. Sejak tahun 1994, Kejohanan All England dilangsungkan di Arena Birmingham.

Tahukah anda, Kejohanan All England hanya pernah ditangguhkan sebanyak dua kali dalam sepanjang sejarahnya?

All England pernah ditangguhkan pada tahun 1915 hingga tahun 1919 disebabkan oleh Perang Dunia Pertama dan pada 1940 sehingga tahun 1946 akibat Perang Dunia Kedua.

Pemenang All England Paling Banyak

Kredit gambar: https://www.nationalbadmintonmuseum.com/sir-george-thomas-a-legend-as-a-player-administrator-and-gentlemen/

Tentu sekali anda tahu tentang Piala Thomas. Nama Thomas diambil bersempena dengan nama pemain badminton terbaik yang pernah disaksikan oleh All England iaitu Sir George Thomas.

Pemain lagenda badminton ini pernah memenangi 21 kejuaraan All England dari pelbagai kategori dari tahun 1903 hingga tahun 1928. Beliau pernah merangkul empat kejuaraan dari kategori perseorangan lelaki, sembilan dari kategori beregu lelaki dan lapan dari kategori beregu campuran.

Judy Delvin dari Amerika Syarikat pula merupakan pemenang perseorangan All England terbanyak di dalam sejarah kejohanan ini. Beliau pernah memenangi sebanyak 10 kali bagi kategori perseorangan wanita.

Rudy Hartono Kurniawan, pemain perseorangan dari Indonesia pula merupakan pemenang kategori perseorangan lelaki paling banyak dengan kejuaraan sebanyak lapan kali.

Sejarah pemain perseorangan Malaysia di Kejohanan All England

Kredit gambar: https://headtopics.com/my/mohd-hafiz-hashim

Apabila Muhammad Hafiz Hashim mengakhiri penantian selama 37 tahun tanpa kejuaraan perseorangan lelaki All England pada tahun 2003, negara kita sudah boleh menarik nafas lega. Malaysia sebenarnya bukanlah negara yang asing bagi kejuaraan ini. Pada tahun 1950, Wong Peng Soon telah memenangi kejuraan All England sebanyak tiga kali berturut-turut sehingga tahun 1952. 

Pada tahun 1953 dan tahun 1954, Datuk Eddy Choong pula memenangi kejuaraan perseorangan lelaki untuk negara di All England. Wong Peng Soon kembali menyinar pada tahun 1955 sebagai juara perseorangan, dan kemudiannya dominasi negara disambung semula oleh Datuk Eddy Choong pada tahun 1956 dan 1957.

Negara kita terpaksa menunggu sembilan tahun kemudian, iaitu pada tahun 1966 untuk Tan Aik Huang kembali memenangi kejuaraan perseorangan lelaki All England. Kemudian, tiada lagi pemain perseorangan negara yang mampu membawa pulang kejuaraan tersebut, sehingga Hafiz Hashim merangkulnya.

Datuk Punch Gunalan (1974), Datuk Misbun Sidek (1986), Foo Kok Keong (1991), Datuk Rashid Sidek (1996) dan Ong Ewe Hock (1998) adalah nama-nama besar yang tewas di perlawanan akhir sebelum Hafiz Hashim membawa pulang kejuaraan perseorangan lelaki pada tahun 2003. Hafiz Hashim memerlukan 53 minit untuk menewaskan Chen Hong 17-14 dan 15-10 (sistem 15 mata), pada usianya 20 tahun dan tidak mempunyai sebarang ranking BWF pada ketika kemenangan tersebut. 

Tujuh tahun kemudian, lagenda perseorangan badminton negara Datuk Lee Chong Wei pula menyambung penguasaan negara melalui kemenangan beliau dalam acara perseorangan lelaki pada tahun 2010, 2014, 2015 dan 2017.

Semoga kemenangan Lee Zii Jia pada tahun ini bakal melonjakkan semangat beliau untuk terus berusaha gigih bagi menjadi pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei. 

 

Sumber: