Pemerdagangan manusia merupakan satu konflik yang melanda dunia secara global. Keadaan ini menunjukkan bahawa dunia sedang berdepan dengan konflik pemerdagangan manusia pada tahap yang membimbangkan dan memerlukan keprihatinan daripada semua pihak. Malaysia merupakan antara destinasi pilihan bagi sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia di peringkat global.

Selepas kekal berada pada Tahap 2 Pemerhatian dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) bagi tiga tahun berturut-turut, akhirnya pada tahun 2021 Malaysia jatuh ke Tahap 3 iaitu tahap terburuk dalam laporan tersebut. Kali terakhir negara kita berada di tahap terburuk ini adalah pada tahun 2014. Situasi ini sebenarnya menuntut kerajaan untuk terus berusaha bagi menangani isu pemerdagangan manusia di negara kita melalui pelbagai pendekatan.

Kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia

Kredit gambar: https://my.usembassy.gov/ms/slide/laporan-pemerdagangan-manusia-2020/

Kedudukan sesebuah negara dalam isu pemerdagangan manusia dapat dilihat menerusi Laporan Pemerdagangan Manusia (Trafficking In Persons Report) yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat. Laporan ini adalah berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi jenayah pemerdagangan manusia dan dikeluarkan pada setiap tahun.

Menerusi laporan ini juga, ranking akan diberikan kepada setiap negara pada setiap tahun berdasarkan usaha yang diambil oleh negara tersebut dalam membanteras pemerdagangan manusia di negara mereka di samping mengaplikasikan sepenuhnya Akta Pemerdagangan Perlindungan Manusia (TVPA) Amerika Syarikat mengikut standard minimum.

Tahap 1 merupakan kedudukan terbaik yang diberikan menerusi laporan ini diikuti oleh Tahap 2, Tahap 2 Pemerhatian dan Tahap 3 yang merupakan ranking terendah dalam laporan tersebut. Sejak Laporan Pemerdagangan Manusia ini diperkenalkan pada tahun 2001, Malaysia pernah menduduki Tahap 3 sebanyak lima kali, menduduki Tahap 2 Pemerhatian sebanyak sepuluh kali termasuk pada tahun 2020, menduduki Tahap 2 sebanyak lima kali dan tidak pernah langsung menduduki Tahap 1 (2001-2021).

Pada tahun 2018, Malaysia pernah dinyatakan sebagai belum memenuhi sepenuhnya standard untuk membanteras isu pemerdagangan manusia walaupun terdapat usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan Malaysia. Kedudukan Malaysia juga menurun daripada Tahap 2 pada tahun 2017 kepada Tahap 2 Pemerhatian pada tahun 2018 kerana kerajaan Malaysia didapati kurang mendakwa suspek-suspek yang disyaki terlibat dalam isu pemerdagangan manusia berbanding pada tahun 2017. Kedudukan ini kekal sehingga tahun 2020 dan turun ke Tahap 3 iaitu tahap terburuk pada tahun ini.

Kesan buruk Tahap 3 terhadap Malaysia

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/451783/kita-mahu-memerdekakan-malaysia-daripada-pati

Selain Malaysia, negara Guinea-Bissau turut dimasukkan dalam senarai Tahap Tiga yang didalamnya termasuk Afghanistan, Algeria, Myanmar, China, Comoros, Cuba, Eritrea, Iran, Nicaragua, Korea Utara, Russia, Selatan Sudan, Syria, Turkmenistan dan Venezuela. Empat negara iaitu Belarus, Burundi, Lesotho and Papua New Guinea pula telah dikeluarkan daripada senarai Tahap Tiga dan dimasukkan ke Tahap Dua.

Benar, senarai ini bukanlah negara-negara contoh yang patut kita berada di dalamnya. Tahap Tiga adalah negara yang langsung tiada usaha untuk mematuhi standard minimum Akta Pemerdagangan Perlindungan Manusia (TVPA). Kesan langsung yang bakal ditanggung oleh negara-negara yang berada di dalam senarai Tahap 3 ialah dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat bagi sebarang bantuan pembiayaan dana asing. Namun keputusan akhir bagi sekatan bantuan tersebut masih tertakluk kepada kuasa Presiden Joe Biden.

Laporan ini juga akan memberikan kesan buruk secara tidak langsung terhadap imej Malaysia di peringkat antarabangsa khususnya dari segi peranan Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan manusia. Selain itu juga, ia memberi kesan terhadap Pelaburan Langsung Asing (FDI) akan datang di mana negara-negara pelabur kurang berminat untuk melabur di negara Tahap 3 atas risiko sekatan import dari Amerika Syarikat.