Hidup bersama virus adalah frasa baharu yang kerap kali kita baca. Semalam, di dalam sidang media pertama selaku Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin menggariskan beberapa pendekatan baharu yang bakal diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kini diterajuinya.

Terdapat beberapa perincian penting di dalam sidang media tersebut seperti perkongsian data kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI), keputusan vaksinasi terhadap kanak-kanak, ujian saringan individu enggan divaksin dan jangkaan fasa endemik.

Berikut merupakan isi penting yang boleh disimpulkan daripada sidang media pertama beliau.

Malaysia memasuki fasa endemik pada akhir Oktober

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/05/818670/kita-belum-gagal-pkp-penuh-pilihan-akhir-lawan-covid-19

Selepas melihat kepada pendekatan beberapa negara yang mengubah SOP mereka, kita juga boleh menjangkakan apa yang dimaksudkan dengan fasa endemik dan frasa hidup bersama virus. Fasa endemik merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu. Sektor ekonomi dan sekatan perjalanan tidak boleh dikekalkan untuk selama-lamanya. Maka, rakyat Malaysia harus belajar untuk hidup dengan mematuhi SOP bagi mengelakkan terkena jangkitan Covid-19.

Peralihan fasa itu dijangka berlaku selepas 80 peratus daripada populasi rakyat dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos suntikan vaksin. Kadar vaksinasi yang tinggi dijangka membawa negara ke fasa endemik pada penghujung bulan Oktober. Sebenarnya, Sarawak dan Labuan sudahpun berada di dalam fasa endemik.

Langkah itu kelak membolehkan pelbagai sektor di dalam negara dapat dibuka dan kehidupan rakyat kembali seperti sedia kala dalam norma baharu. Sebagai persediaan untuk hidup bersama virus ini, rakyat perlu sentiasa melakukan kawalan kendiri, memakai pelitup muka dan mendapatkan vaksin seperti disyorkan kerajaan. Norma baharu ini adalah penting untuk kita terus hidup secara sihat dan selamat walaupun virus kekal berada dalam kalangan masyarakat.

Dasar ujian saringan individu kepada yang enggan divaksin

Kredit gambar: https://www.buletinmutiara.com/saringan-covid-19-terhadap-pekerja-warga-asing-sektor-pembinaan-100-keputusan-negatif-setakat-kini-exco/

Bagi golongan yang enggan divaksin pula, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merancang untuk memperkenalkan dasar ujian saringan kebangsaan. Dasar ini bakal menumpukan mereka yang enggan divaksin biarpun tidak mempunyai sebarang halangan kesihatan untuk berbuat demikian.

Dasar ujian saringan kebangsaan ini bakal diwujudkan kerana kerajaan masih belum mewajibkan pengambilan vaksin. Kerajaan akan menggalakkan serta memberikan keistimewaan terhadap mereka yang sudah mendapat vaksin untuk melakukan perkara yang tidak dibenarkan terhadap individu yang tidak mengambil vaksin.

Sehingga hari ini juga, kebanyakan pengecualian SOP seperti kebenaran untuk makan di kedai makan (dine in), merentas daerah dan memasuki masjid dan surau untuk solat berjemaah hanya dibenarkan kepada penerima vaksin sahaja. Mereka yang enggan mendapatkan vaksinasi bakal diarahkan untuk menjalani ujian saringan berjadual. Untuk itu juga, kit saringan kendiri akan lebih mudah dan murah untuk didapati selepas ini.

Perkongsian data yang lebih telus

Kredit gambar: https://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/07/moh-open-sourcing-extremely-rich-data-on-the-pandemic-at-github

Terdapat beberapa isu yang dikaitkan dengan perkongsian data oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini. Isu yang sama turut dibangkitkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Parlimen baru-baru ini. Tanpa perkongsian data, adalah sukar untuk kerajaan negeri yang mempunyai sumber kepakaran seperti Selangor dan Pulau Pinang untuk membuat sebarang keputusan berkaitan dengan pengurusan pandemik.

Mulai minggu hadapan, KKM akan membekalkan lebih banyak data terperinci berkaitan Covid-19 kepada umum bagi meningkatkan lagi ketelusan kementerian itu dalam pemberian maklumat. Antara data yang bakal dikongsikan termasuklah data kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang sering digunakan sebagai hujah mereka yang menolak pengambilan vaksin.

Menurut KKM lagi, sehingga hari ini belum ada satu pun kes kematian yang menunjukkan ada kaitan kasual secara langsung dengan pengambilan vaksin. Antara kesan sampingan kecil yang paling banyak direkodkan termasuklah rasa sakit di bahagian suntikan, pening kelapa dan kelesuan.

Status cadangan pemberian vaksin untuk kanak-kanak

Kredit gambar: https://fortune.com/2021/03/26/covid-19-vaccine-shot-age-requirements-kids-children/

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum lagi memuktamadkan sebarang keputusan untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun. Ketika ini kajian sedang dijalankan Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal pelbagai negara termasuk Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) United Kingdom (UK), Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA). Di negara kita, kajian yang sama turut dijalankan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Selepas KKM memperoleh data lengkap yang menyokong bahawa pemberian vaksin terhadap kanak-kanak adalah selamat, ia akan dibawa kepada jawatankuasa kerja pakar vaksinasi untuk dipertimbangkan dan keputusan mengenainya dibuat. Dalam rundingan bersama syarikat farmasuetikal Pfizer, syarikat itu berkemungkinan mengeluarkan vaksin yang dikhaskan untuk kanak-kanak. Vaksin itu kelak akan mempunyai kadar dos berbeza dengan vaksin yang digunakan ketika ini untuk golongan dewasa.