Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dilaporkan sedang berusaha untuk menggabungkan dua agensi di bawahnya iaitu Taman Teknologi Malaysia (TPM) dengan Pusat Kreativiti Inovasi Global Malaysia (MaGIC). Mandat baharu yang diluluskan oleh Kabinet itu bertujuan memacu negara ke arah ekonomi inovasi dan mewujudkan sebuah agensi pengkomersialan teknologi baharu.
Satu jawatankuasa akan ditubuhkan di peringkat Kementerian untuk memantau penubuhan agensi tersebut. Agensi baharu itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dzuleira Abu Bakar. Penggabungan ini akan membantu dalam menangani masalah seperti kadar pengkomersialan rendah, perbelanjaan domestik kasar rendah untuk penyelidikan dan pembangunan (GERD), perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) rendah oleh sektor swasta serta pertindihan peranan antara beberapa agensi kerajaan.
Dengan kekuatan yang sedia ada pada MaGIC dan TPM, MOSTI juga yakin penggabungan ini dapat mempercepatkan proses penciptaan, pembangunan serta pengkomersialan sektor teknologi dan inovasi.