Pada hari ini, lozeng jenama Fisherman’s Friend tidak lagi asing kepada kita di seluruh dunia. Ia sangat membantu bagi menyegarkan nafas, melegakan sakit tekak dan batuk. Selain itu juga, lozeng ini mampu memberikan kelegaan terhadap kesesakan liang hidung akibat selesema.
Ia merupakan lozeng pilihan orang awam sehingga Presiden Perancis, Emmanuel Macron. Beliau dikatakan setiasa ditemani oleh dua pek Fisherman’s Friend, satu di dalam koceknya dan satu lagi di dalam kereta.
Namun begitu, lozeng yang dicipta pada tahun 1865 ini sebenarnya bermula secara terasing dari dunia perubatan. Hanya 100 tahun kemudian, isteri kepada cucu pengasas lozeng tersebut berjaya membawa ciptaannya ke seluruh dunia.
Tanpa sebarang pendidikan tinggi, Doreen Lofthouse berjaya menjual hampir 5 bilion lozeng jenama Fisherman’s Friend. Walhal, 100 tahun sebelumnya, lozeng ini hanya terjual kepada nelayan di sekitar pekan kecil di Fleetwood, Lancashire, England.
Ini kisah penciptaan lozeng Fisherman’s Friend dan peranan Doreen yang berjaya melonjakkannya.
Dicipta untuk nelayan laut dalam
Setiap pek lozeng Fisherman’s Friend mengandungi 21 tablet. Sekiranya diamati, ia turut mengandungi gambar bot nelayan yang besar. Sebenarnya, ia merujuk kepada kisah penciptaan lozeng ini.
Pada tahun 1865, seorang ahli farmasi di Fleetwood bernama James Lofthouse sering bertemu nelayan yang pulang dari menangkap ikan di North Sea. Ketika itu, pelayaran pergi dan pulang mereka sangat merbahaya dan sukar.
Kumpulan nelayan ini turut mengalami kesukaran bernafas, sakit tekak dan batuk yang berpanjangan. Maka, James Lofthouse mula mencipta ubat yang membantu melegakan sakit nelayan ini.
Pada mulanya, Fisherman’s Friends hanya boleh didapati di dalam bentuk cecair. Namun begitu, untuk memudahkan nelayan-nelayan ini bagi mengambilnya di tengah lautan, James Lofthouse menukarkannya kepada bentuk lozeng.
Lozeng ini dianggap mujarab dan melegakan sakit mereka. Maka, ia menjadi pilihan bagi nelayan-nelayan laut dalam di sekitar Fleetwood dan seterusnya di seluruh negara. Sehingga 100 tahun pertama ciptaannya, lozeng ini hanya digunakan oleh kumpulan nelayan sahaja.
Kerja keras dan legasi Doreen Lofthouse
Doreen Lofthouse merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Fisherman’s Friends ke seluruh pelusuk dunia. Ia bermula apabila Doreen bekerja seawal usianya 15 tahun di farmasi milik keluarga Lofthouse.
Oleh kerana ketika itu Fisherman’s Friends masih hanya tertumpu kepada kegunaan nelayan, farmasi Lofthouse sering menerima surat tempahan dari merata tempat. Bagi memenuhi permintaan tersebut, Doreen sanggup memandu jauh ke bandar-bandar lain sambil membawa lozeng Fisherman’s Friends untuk dipasarkan.
Kerja kerasnya selama 100 jam seminggu itu akhirnya membuahkan hasil yang lumayan. Ini apabila tempahan meningkat dua kali ganda daripada biasa dan mereka terpaksa menambah baik mesin yang menghasilkan lozeng tersebut.
Kemudiannya, Doreen berjaya mendapatkan tempahan dari farmasi terkemuka di United Kingdom iaitu Boots The Chemists. Boots merupakan rangkaian farmasi terbesar di UK dengan memiliki 2,500 farmasi pada hari ini.
Tempahan dari Boots dan kemudiannya boleh firma Impex Management ke seluruh negara-negara Scandinavian mengubah segalanya. Pada pertengahan 1990-an, dikatakan lozeng Fisherman’s Friends merupakan jenama terbesar yang diimport ke Jerman dengan jualan 100 juta pek setahun.
Usaha dan kerja keras Doreen ini juga membawa limpahan ekonomi kepada Fleetwood. Syarikat mereka merupakan majikan terbesar bagi penduduk di sana. Melalui Yayasan Keluarga Lofthouse , Doreen turut membantu bagi membesarkan hospital di Fleetwood.
Ketika beliau meninggal dunia, Doreen turut mewasiatkan sebanyak RM232.4 juta kepada Yayasan tersebut.