Pada sekitar Disember 2018, ketika Huawei sedang berada di kemuncak kegemilangannya, Ketua Pegawai Kewangan syarikat tersebut telah ditahan. Digelar Puteri Huawei, Meng Wanzhou merupakan watak penting di dalam syarikat gergasi teknologi itu. Bukan sahaja sebagai CFO, beliau juga merupakan naib pengerusi lembaga pengarah syarikat dan anak kepada pengasas Huawei.

Meng Wanzhou ditahan di Vancouver ketika pertukaran pesawat dari Hong Kong ke Mexico. Ketika itu, Presiden Donald Trump sedang menekan syarikat-syarikat teknologi khususnya dari China. Huawei dan Meng Wanzhou dilihat menjadi mangsa keadaan.

Sewaktu penahanan beliau, pasaran teknologi dunia bergolak kerana menantikan tindakan balas daripada China. Amerika Syarikat pula sedang menekan China di dalam perang perdagangan antara dua negara terbabit.

Pertuduhan yang dilemparkan ke atas beliau

Kredit gambar: Bangkok Post

Sebagai CFO Huawei, Meng Wanzhou dituduh berbohong kepada sebuah bank Amerika Syarikat. Pertuduhan tersebut berhubung penggunaan anak syarikat rahsia yang digunakan untuk berurusan dengan Iran kerana ia melanggar sekatan. Wanzhou secara peribadi menafikan hubungan antara Huawei dan anak syarikatnya SkyCom, sedangkan ‘SkyCom adalah Huawei’.

Peguam bagi kerajaan Kanada, John Gibb-Carsley mendakwa, keadaan itu meletakkan bank dalam keadaan melanggar sekatan. SkyCom dikatakan melakukan pelanggaran itu sejak 2009 hingga 2014. Bagaimanapun, Wanzhou menegaskan ia merupakan salah faham yang berlaku pada tahun 2013.

Menurut peguam Wanzhou, David Martin, beliau adalah ahli lembaga pengarah SkyCom tetapi syarikat itu telahpun dijual. Pihak berkuasa Amerika Syarikat pula mendakwa, Huawei masih mengawal syarikat itu. Gibb Carsley pula mendedahkan kakitangan SkyCom terus menggunakan identiti Huawei dan menggunakan e-mel syarikat itu.

Wanzhou juga dilihat cuba mengelak daripada ke Amerika Syarikat beberapa tahun kebelakangan ini. Bagi menghadapi pertuduhan tersebut, beliau bakal diekstradisi ke Amerika Syarikat.

Menghadapi tahanan rumah di Kanada

Kredit gambar: The Guardian

Bagi mengelakkan dirinya diekstradisi ke Amerika Syarikat, Meng Wanzhou telah mencabar perintah ekstradisi tersebut. Untuk sementara waktu, beliau ditahan di Alouette Correctional Centre for Women. Ia merupakan pusat tahanan di dalam kawasan penjara di Vancouver.

Hakim Kanada akhirnya membenarkan permohonan ikat jamin beliau dan Wanzhou dikenakan perintah tahanan rumah. Perbicaraan tersebut memakan masa yang panjang dan selama tiga tahun, Wanzhou kekal dikenakan perintah tahanan rumah.

Hakim Kanada akhirnya membebaskan Meng Wanzhou

Kredit gambar: The New York Times

Mahkamah Agung British Columbia mengakhiri prosiding ekstradisi tersebut semalam dengan membebaskan Meng Wanzhou. Keputusan itu dibuat selepas Wanzhou mencapai perjanjian pendakwaan yang ditangguhkan dengan Amerika Syarikat untuk mengelakkan tuduhan penipuan. Pembebasan tersebut secara tidak langsung mengakhiri saga perundangan selama hampir tiga tahun.

Jabatan Keadilan Kanada kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa Wanzhou kini bebas untuk meninggalkan negara tersebut. Pembebasan Meng Wanzhou dilihat sebagai satu kemenangan moral terhadap Huawei dan China.

Bagaimanapun, ia memperlihatkan kepada kita sisi buruk perang dingin antara dua negara. Meng Wanzhou dan Kanada hanyalah bidak yang diperalatkan di dalam perang teknologi China dan Amerika Syarikat.