Apabila Allahyarham Datuk Mohd Nor Abdullah diberitakan meninggal dunia pada hari Ahad lalu, media dilihat memaparkan beliau dari sisi berbeza. Pada usianya 87 tahun, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Baling, Kedah, akibat komplikasi beberapa penyakit.
Beliau merupakan bapa kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Ramli Mohd Nor. YB Ramli mencatatkan sejarah sebagai keturunan Orang Asli pertama mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Selain itu juga, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Sapiah Mohd Nor merupakan seorang lagi anaknya yang berjaya.
Namun begitu, sebenarnya Allahyarham sendiri mempunyai sumbangan yang tidak ternilai sewaktu kemerdekaan negara. Ini kisah penglibatan Datuk Mohd Nor dengan Pasukan Senoi Praaq, sebuah unit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hanya dianggotai oleh Orang Asli.
Mencadangkan penubuhan Senoi Praaq
Di dalam suku Orang Asli dari keturunan Semai, Allahyarham Datuk Mohd Nor dikenali sebagai Bah Ayob dan berasal dari Cameron Highlands. Sewaktu darurat yang melibatkan kerajaan British di Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya, British menghadapi kesukaran lantaran kedudukan PKM jauh di dalam hutan tebal.
PKM juga mengambil kesempatan untuk merekrut Orang Asli bagi membantu mereka. Bah Ayob, seawal usianya lapan tahun telah dipaksa untuk membantu komunis.
Beliau bagaimanapun berjaya melarikan diri dari PKM, lantas mencadangkan penubuhan pasukan Senoi Praaq.
Tertubuhnya pasukan Orang Perang
Sebagai Penasihat Hal Ehwal Orang Asli pada ketika itu, R.O.D. Noone telah bertemu dengan dengan Sir Gerald Templer. Selaku pemerintah tentera British Tanah Melayu, Sir Gerald bersetuju dengan cadangan penubuhan pasukan Senoi Praaq.
Senoi Praaq bermaksud ‘Orang Perang’ di dalam bahasa Semai. Pasukan ini dicadangkan sebagai cabang pasukan bersenjata yang dikelolakan oleh Jabatan Orang Asli.
Pada bulan Mei 1956, pasukan Senoi Praaq diwujudkan dan R.O.D. Noone sendiri telah dilantik sebagai Leftenan Kolonel. Anggota pertama pasukan ini terdiri daripada sepuluh orang pemuda orang asli dari suku kaum Orang Asli Semai. Mereka berasal dari Perkampungan Orang Asli Kuala Mensoon, Cameron Highlands.
Allahyarham Datuk Mohd Nor Abdullah merupakan salah seorang daripada pemuda tersebut, menggunakan nombor badan 001.
Menerima penghormatan Beret Merah
Sewaktu misi pertama mereka, sejumlah sepuluh anggota ini hanya dibekalkan dengan sepucuk senjata api dan sepuluh peluru. Mereka diarahkan untuk masuk ke hutan dengan tujuan memburu komunis.
Pasukan Senoi Praaq kemudiannya pulang dengan berita gembira apabila berjaya membunuh lebih dari sepuluh orang komunis. Kekuatan pasukan ini kemudiannya ditambah menjadi tiga puluh anggota dan mendapat latihan peperangan di hutan khususnya untuk menentang pengganas komunis oleh British Army 22 Special Air Service Regiment (SAS).
Pasukan ini diberi penghormatan oleh SAS dengan memakaikan mereka dengan Beret Merah Komando sebelum berangkat meninggalkan Tanah Melayu. Sewaktu Perang Dunia Kedua, beret ini dipakai oleh pasukan elit komando SAS.
Digelar Silent Killer oleh CIA
Pada tahun 1964, Lt Kol R.O.D. Noone bersama sepasukan anggota Senoi Praaq telah dihantar ke Pleiku, Vietnam atas permintaan pemimpin negara berkenaan. Tujuannya adalah bagi melatih kumpulan masyarakat asli di sana.
Pasukan melatih cara-cara menentang komunis secara ‘heart and mind’ sebagaimana yang dijalankan dengan jayanya di negara ini semasa melawan komunis ketika darurat. Senoi Praaq bertanggungjawab membentuk pasukan Montagnard Scouts di bawah MSP (Mountain Scout Program) kendalian CIA dengan kerjasama BRIAM (British Advisory Mission).
Mereka mendapat gelaran ‘The Silent Killer’ oleh CIA di Vietnam dan pernah digunakan secara rahsia dalam menjalankan misi-misi sulit di Laos. Ramai anggota Senoi Praaq yang terkorban dalam perjalanan balik dan peristiwa itu telah disematkan dalam sebuah buku berjudul Death Waits in the Dark: the Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite.
Senoi Praaq pada hari ini
Pasukan Senoi Praaq kemudiannya diserapkan ke dalam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PDRM. Batalion ke 19 PGA ini berpengkalan di Pengkalan Hulu. Batalion kedua pasukan Senoi Praaq dikenali sebagai Batalion ke 20 PGA dan berpengkalan di Bidor, Perak.
Ketika ini, seramai 862 anggota Orang Asli berada di dalam pasukan ini. Mereka menjalankan tugas bagi mengekalkan keamanan negara dan menghindari ancaman musuh terutamanya di hutan. Selain itu juga, pasukan ini kerap terbabit dalam misi mencari dan menyelamat di kawasan hutan.
Menurut mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Senoi Praaq mempunyai reputasi yang cemerlang dan baik. Mereka juga digeruni dalam kalangan penyeludup di sempadan negara kerana sifat mereka yang amanah dan berintegriti tinggi semasa menjalankan tugas.
Maka kita harus berterima kasih kepada Allahyarham Datuk Mohd Nor Abdullah atas usaha beliau, 65 tahun yang lalu. Beliau bersara pada tahun 1989, 33 tahun selepas perkhidmatan cemerlang dengan pangkat ASP. Jawatan terakhir yang disandang Allahyarham adalah Ketua Kompeni A, Batalion 19 PPH, Pengkalan Hulu, Perak.