Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan kini dilaporkan sedang berusaha untuk membawa pulang lebih 100 rangka manusia yang kini disimpan di Universiti Florida, Amerika Syarikat.
Menurut sumber Sinar Harian, rangka manusia purba berusia kira-kira 40,000 tahun untuk ditemui di Gua Niah susulan kerja penggalian yang dilakukan oleh kurator pertama Muzium Sarawak, Tom Harrison bersama isterinya, Barbara sekitar tahun 1957 dan 1967.
Lebih daripada 200 rangka telah ditemui dan 122 daripadanya terpaksa dibawa ke Universiti Nevada dengan menggunakan kapal untuk penyelidikan kerana pada ketika itu Sarawak masih tidak mempunyai universiti bagi tujuan tersebut.
Selesai penyelidikan di Universiti Nevada, rangka-rangka tersebut telah dihantar ke Universiti Florida yang turut berminat untuk membuat penyelidikan dan kemudiannya terus disimpan disana.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengesahkan rangka-rangka tersebut kini berada di Florida dan beliau sendiri difahamkan akan terbang ke Amerika Syarikat untuk proses membawa pulang tinggalan sejarah itu ke tanah Bumi Kenyalang.
“Nasib baik apabila kami memeriksa arkib kami, tulang-tulang terbabit didapati hanya dipinjamkan (kepada universiti di Amerika Syarikat), jadi kami menulis kepada mereka yang kami mahukan tulang tersebut dipulangkan semula,” ujar Datuk Abdul Karim kepada Sinar Harian.
“Diharapkan ia (tulang manusia purba) akan sampai di sini (Sarawak) dalam bulan Februari atau Mac ini.”
Gua Niah merupakan gua yang terbesar di Malaysia dan kaya dengan kisah sejarah. Gua tersebut terletak kira-kira 90 kilometer bersamaan satu jam setengah perjalanan dari Miri. Ia juga turut diklasifikasikan sebagai gua batu kapur yang terbesar di dunia.
Tulang manusia purba itu akan dipamerkan di Kompleks Muzium Sarawak yang dijangka akan mula dibuka pada penghujung tahun ini.
Kredit foto: Visit Malaysia 2020 (VM2020)