Daging ayam bukan sahaja lazat tetapi juga sebenarnya lebih sihat berbanding sumber daging yang lain. Ayam juga sangat kaya dengan protein dan pelbagai lagi nutrisi yang lain. Sebelum ini, daging ayam lebih mudah didapati dengan harga yang lebih murah berbanding ikan.
Kenaikan harga runcit ayam segar di pasaran sejak sebulan lalu bukan sesuatu yang mengejutkan. Harga ayam segar sebelum ini dijual antara RM7 hingga RM8 bagi setiap kilogram. Namun begitu, sejak beberapa minggu kebelakangan ini peniaga terpaksa menaikkan harga sehingga lebih RM10 sekilogram.
Laporan Perak Insights menunjukkan harga ayam di Perak turut melambung sehingga RM11.50 sekilogram. Artikel ini membincangkan punca dan cadangan penyelesaian kepada masalah ini.
Punca kenaikan harga ayam
Tidak dapat dinafikan punca utama kenaikan harga ayam terletak pada kenaikan harga makanannya. Penternak ayam di Malaysia mengimport kira-kira 80 peratus daripada makanan ternakan tersebut.
Kos makanan ayam dilaporkan telah meningkat sebanyak 75 peratus. Makanan ayam dijual pada harga RM1,400 bagi setiap satu tan metrik berbanding hanya sekitar RM800 sebelum ini.
Apabila berlaku ketidakstabilan dalam harga makanan ayam, sudah tentu kos pengeluarannya meningkat dengan mendadak. Dan secara tidak langsung, harga borong dan runcit ayam segar meningkat untuk menampung kos ternakan tersebut.
Selain itu juga, penternak ayam berhadapan dengan masalah kekurangan pekerja pasca pandemik. Sekatan pengambilan pekerja asing yang majoritinya bekerja di ladang ternakan menyebabkan pengusaha mengambil pekerja tempatan. Penggajian pekerja tempatan meningkatkan kos operasi ladang.
Peningkatan harga anak ayam dan baka ayam juga dilihat menjadi punca peningkatan harga pasarannya.
Cadangan penyelesaian jangka pendek dan panjang
Untuk jangka pendek dan sederhana, kerajaan mungkin boleh memperkenalkan harga siling seperti yang dilakukan semasa musim perayaan. Biarpun kawalan harga bukanlah satu penyelesaian yang baik, namun kesusahan rakyat terutamanya dalam kalangan B40 perlu diambil perhatian. Peningkatan harga ayam di luar kawalan bakal membawa kesan berpanjangan kepada perbelanjaan mereka. Selain itu juga, kerajaan boleh menambah permit import daging ayam buat sementara waktu bagi mengimbangi harga pasaran.
Bahan mentah untuk makanan ayam biasanya adalah bersumberkan jagung, kacang soya dan minyak sawit. Ketiga-tiga sumber bahan mentah ini boleh didapati di negara kita. Penyelesaian jangka masa panjang memerlukan kepada usaha pengeluaran makanan ayam di dalam negara. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) pernah mengambil inisiatif tersebut, namun nampaknya masih tidak mencukupi.
Ia memerlukan kepada iltizam dan kerja keras semua pihak. Dan usaha tersebut perlu dimulakan dengan segera.