Jualan kenderaan pada bulan Jun merosot 96 peratus kepada 1,921 unit berbanding 47,204 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Kadar kemerosotan jualan ini adalah kesan susulan daripada pelaksanaan sekatan pergerakan seluruh negara bermula 1 Jun lalu. Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi separuh pertama tahun ini (1H21) adalah lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu 249,129 unit berbanding 173,545 unit, peningkatan 75,584 unit.
Menurut kenyataan Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, pencapaian tinggi itu sebahagian besarnya adalah disumbangkan oleh kesan asas yang rendah iaitu TIV yang rendah pada 1H20 disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.
Sebagai perbandingan, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun 2019 adalah sebanyak 604,287 unit. Jumlah jualan tersebut adalah kedua tertinggi bagi dekad lalu selepas jualan 666,677 unit yang dicatatkan pada tahun 2015.
Sepanjang tahun 2010 hingga tahun 2020, hanya pada 2015 dan 2019 sahaja jumlah TIV ini mencapai 600,000 unit. Manakala bagi tahun lalu, jumlah keseluruhan jualan kembali merosot kepada 529,434 unit. Unjuran TIV bagi tahun ini sebenarnya dijangkakan pada kadar 570,000 unit, peningkatan lapan peratus atau 40,566 unit berbanding 2020.
Penutupan bilik pameran menjadi faktor utama
Berdasarkan jangkaan awal, hampir tiada kereta dijangka dapat dijual bulan ini berikutan penutupan bilik pameran dan pengeluaran diberhentikan semasa fasa pertama sekatan pergerakan penuh bermula sejak 1 Jun lalu. Berdasarkan purata harga jualan kenderaan RM70,000 seunit di Malaysia, industri automotif negara dianggar kehilangan pendapatan sekitar RM3.30 bilion pada Jun apabila hanya 1,921 unit kenderaan berjaya dijual.
Kekangan proses dokumentasi bagi pinjaman dan pendaftaran menjadi sebab utama urusan jual beli kenderaan masih lagi tertangguh. Keadaan ini tidak dibantu oleh platform e-showroom yang dianjurkan oleh kebanyakan pengeluar. Setakat ini, kebanyakan bank utama juga tidak membenarkan proses walk in bagi pelanggan baharu. Anda perlu mendaftar di dalam sistem temu janji dalam talian untuk diberikan tarikh perjumpaan.
Ketika semua bilik pameran dan rantaian pengeluaran ditutup sementara, jualan yang berlaku adalah stok akhir di bilik pameran dimana penjual masih boleh mendaftar dengan JPJ dalam talian.
Jualan merosot sejak bulan April
Jualan kenderaan telah merosot sebanyak 19 peratus kepada 46,663 unit pada Mei, berbanding 57,912 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Trend menurun ini bermula sejak April dengan kadar jualan turun kepada merosot kepada 57,912 unit, 12.3 peratus lebih rendah berbanding 63,221 unit yang dicatatkan pada bulan Mac.
Bagi tempoh Januari hingga April tahun lalu, jumlah jualan automotif tempatan berada pada 105,424 unit, susulan pelaksanaan PKP pada pertengahan Mac hingga April. Setakat April 2021, pasaran automotif tempatan merekodkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 199,556 unit, 89 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Namun, pelaksanaan PKP 3.0 kembali merencatkan peningkatan tersebut.
Risiko gulung tikar pengedar kereta
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), banyak pengedar kenderaan dijangka terpaksa menutup perniagaan jika terus tidak dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh terdekat. Setakat ini, pihak persatuan menerima banyak aduan terutama daripada pengedar kecil mengatakan mereka sudah tidak mampu untuk bertahan lagi dari segi aliran tunai ketika ini.
Sekiranya situasi ini terus berlanjutan untuk tempoh sebulan lagi dan pengedar masih tidak dibenarkan beroperasi, banyak pengedar yang akan menutup perniagaan sekaligus terpaksa memberhentikan pekerja mereka. Laporan yang diterima oleh MAA juga menunjukkan pengedar besar juga turut terjejas dan mungkin hanya mampu bertahan sehingga bulan Oktober.
Sekiranya dilihat kembali kepada unjuran awal TIV dan kadar jualan bagi bulan lalu, rayuan MAA ini tidak boleh dipandang enteng oleh pihak kerajaan.