Kumpulan pekerja berbangsa Yahudi di Google dilaporkan telah menulis surat kepada syarikat mereka untuk menyatakan kekesalan terhadap serangan ganas tentera Israel terhadap Palestin. Setakat ini, seramai 250 orang Jewish Googlers yang bernaung di bawah Jewish Diaspora in Tech meyokong seruan ini dengan menghantar rayuan melalui Google Docs.
Melalui dokumen tersebut, terdapat lima tuntutan utama yang dimohon oleh Jewish Googlers kepada CEO Google iaitu Sundar Pichai. Tuntutan tersebut adalah seperti berikut:
- Memberikan perhatian yang serius terhadap permintaan yang dibuat oleh rakyat Palestin dan Palestinian Googlers bagi membolehkan suara mereka yang sedang ditindas kedengaran tanpa sekatan di seluruh dunia.
- Memohon agar bantuan kemanusiaan yang sama diberikan oleh Google kepada pertubuhan hak asasi manusia Israel turut diterima oleh pertubuhan hak asasi manusia Palestin.
- Memohon agar Google memperakui kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin dan keganasan di yang berlaku di kedua-dua negara perlu dihentikan. Mangsa keganasan yang sebenar akibat perang ini adalah rakyat di Palestin dan Israel.
- Mempertahankan kebebasan bersuara dengan kritikan terhadap keganasan Israel dan Zionis bukanlah sebahagian daripada anti-semitism.
- Mengukuhkan komitmen Google terhadap hak asasi manusia.
Jewish Googlers mengakui bahawa serangan tentera Israel terhadap Palestin melanggar hak asasi manusia yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Maka seharusnya Google dan Alphabet mengkaji semula kontrak perniagaan dan sokongan kewangan yang diberikan terhadap Israel yang digunakan sebagai memangkin keganasan ini, terutamanya oleh Israeli Defense Forces.