Baru-baru ini, tular di Kelantan tentang penemuan objek besar yang ditemui terdampar di Pantai Geting. Penemuan objek itu turut menimbulkan pelbagai spekulasi orang ramai termasuk ada yang menganggapnya sebagai piring terbang serta mengaitkannya dengan makhluk asing.
Jabatan Laut Malaysia (JLM) semalam tampil menjelaskan objek tersebut merupakan alat bantuan pelayaran yang dikenali sebagai pelampung pandu atau boya. Boya tersebut berfungsi sebagai penunjuk arah selamat di sesuatu alur pelayaran. Selain itu juga, boya menjadi panduan navigasi kepada kapal, bot dan lain-lain pengguna pengangkutan air di kawasan berkenaan.
Menurut JLM lagi, boya milik jabatan itu ditempatkan di muara Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu. Namun, ia hanyut akibat ombak kuat dan air pasang besar baru-baru ini.
Tulisan ini membincangkan jenis-jenis boya yang terdapat di kawasan perairan dan fungsi-fungsinya.
Membantu navigasi kapal dan bot nelayanÂ
Boya atau pelampung pandu merupakan sejenis alat yang mempunyai pelbagai kegunaan. Biasanya, boya akan kelihatan terapung di atas permukaan air.
Mengikut jenisnya, ada boya yang dibiarkan hanyut mengikut aliran sungai dan laut, biarpun tertambat di sauh. Manakala ada boya yang ditambat secara pegun dan tidak bergerak.
Ini merupakan kegunaan boya yang membantu pandu arah:
- Di atas permukaan air, boya menjadi petunjuk kepada kapal dan bot untuk memasuki sesebuah pangkalan ataupun pelabuhan;
- Boya juga boleh berfungsi sewaktu pertandingan sukan air sebagai penanda lokasi;
- Sewaktu berlakunya sebarang kemalangan melibatkan kapal, boya digunakan untuk menandakan lokasi.
Pada hari ini sistem boya “International Association of Lighthouse Authorities system (IALA) telah dijadikan sebagai piawai standard. Terusan, pelabuhan kuala sungai, dan sungai telah dilengkapi dengan sistem boya IALA. Apabila memasuki pelabuhan dua jenis boya dengan hujung atas berbentuk kon bewarna hijau (starboard markers) atau flatt-top can bewarna merah (port markers) akan ditempatkan di kawasan yang tertentu.
Pada waktu malam ia akan bernyala mengikut warna masing-masing.
Penanda lokasi di tengah lautan
Tidak seperti daratan landai, lokasi boleh ditanda dengan pagar ataupun papan tanda. Di tengah-tengah lautan, boya digunakan oleh nelayan di beberapa buah negara sebagai penanda lokasi tangkapan mereka.
Sebagai contoh di Kanada, boya ditempatkan di kawasan tangkapan lobster. Boya-boya ini dipasang menggunakan warna yang terang supaya mudah kelihatan. Setiap boya mempunyai nombor pendaftaran dan lesen mereka yang tersendiri.
Ini bagi mengelakkan nelayan yang tidak berdaftar dari mengambil hasil dari jerangkap yang dipasang oleh orang lain. Sekiranya disemak oleh pihak berkuasa, mereka perlu menunjukkan sijil pendaftaran boya tersebut.
Kajian sains dan bencana alam
Selain daripada penanda arah dan lokasi, boya juga dipasang bagi tujuan pengumpulan data dan cerapan maklumat. Ia juga bagi mengelakkan bencana alam seperti kejadian tsunami.
Boya bagi cerapan data dipasang oleh saintis bagi mengenalpasti kenaikan paras laut dan gelombang air. Selain itu juga, kecairan ais di kedua-dua kutub dan kawasan antartika dapat dikenalpasti dengan pemasangan boya.
Boya bagi mengesan kehadiran awal tsunami juga turut dipasang di negara kita. Kelolaan MOSTI, boya ini dipasang di kawasan perairan yang berisiko seperti di Laut Cina Selatan dan Selat Melaka. Setakat tahun 2018, terdapat 77 boya seismometer, 53 siren, 17 tolok pasang surut dan 15 kamera pantai di seluruh negara.