Perdana Menteri Malaysia dan Singapura dalam satu kenyataan bersama sebelum ini telah mengumumkan kebenaran Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL). Pada mulanya, VTL yang dimaksudkan adalah membabitkan laluan udara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia juga tertakluk kepada keputusan ujian COVID-19 sebagai ganti menjalani kuarantin atau Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Kedua-dua pemimpin tersebut mengakui wabak Covid-19 mengganggu hubungan rakyat kedua-dua negara dan memisahkan banyak keluarga selama beberapa bulan. Malaysia dan Singapura sudahpun mencapai kemajuan ketara dalam pemberian pelalian kepada penduduk masing-masing.

Maka, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk menyambung perjalanan rentas sempadan secara progresif antara kedua-dua negara dengan cara yang selamat. Perjalanan rentas sempadan melalui pengangkutan udara akan bermula mulai 29 November ini.

Semalam pula diumumkan bahawa Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan laluan udara. Ini adalah intipati syarat-syarat yang ditetapkan oleh kedua-dua buah negara tersebut.

Syarat bagi perjalanan rakyat Malaysia ke Singapura

Kredit gambar: The Star

Menerusi semakan dengan Immigration & Checkpoints Authority Singapura, berikut merupakan antara syarat yang ditetapkan kepada pengembara dari Malaysia.

  • Laluan darat untuk VTL hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang untuk semua yang bekerja atau pekerja di Singapura yang bekerja di Johor Bahru. Perjalanan selain dari syarat ini adalah melalui VTL udara.
  • Lengkap divaksin: Antara vaksin yang disenaraikan termasuklah Pfizer/BioNTech, AstraZeneca, Sinopharm dan Sinovac;
  • Memohon VTL mulai 22 November dan mendapat kelulusan;
  • VTL perlu dipohon antara 7-60 hari sebelum perjalanan;
  • VTL boleh digunakan sepanjang 6 hari dari tarikh cadangan perjalanan; dan
  • Dokumen yang diperlukan: Bukti vaksinasi, dokumen saringan Covid-19 dan juga polisi insurans kesihatan yang merangkumi Covid-19

Syarat-syarat selanjutnya boleh disemak di laman web ini.

Syarat bagi perjalanan rakyat Singapura ke Malaysia

Kredit gambar: The Star

Semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia pula meletakkan syarat-syarat seperti:

  • Pengembara sudah berada di Singapura selama 14 hari;
  • Lengkap menerima vaksin;
  • Memohon VTL dan mendapat kelulusan;
  • Membuat ujian RT-PCR dua hari sebelum perjalanan;
  • Mendaftar untuk ujian RT-PCR di KLIA semasa tiba dan
  • Memuat turun aplikasi MySejahtera.