Teknologi memungkinkan pelbagai pembaharuan di dalam sukan dan salah satu daripadanya adalah statistik. Saban kali selepas sesuatu perlawanan sukan berakhir, penonton dan peminat akan disajikan dengan pelbagai angka dan statistik yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Pelbagai syarikat berkaitan teknologi menawarkan perkhidmatan ini bagi kelab-kelab sukan professional. Kebanyakkan kelab-kelab bola sepak terkemuka seperti Manchester City dan Liverpool menggunakan perkhidmatan STATSports. Kelab-kelab bola keranjang NBA pula menggunakan SportVU.
Ia didatangkan dalam pelbagai bentuk dan rupa bagi menyesuaikan pengumpulan data dengan jenis sukan tersebut. Ada yang diletakkan di dalam vest pemain dan ada pula yang diletakkan di jersi. Daripada data yang terkumpul, kelab professional dapat membuat analisis tambahan tentang persembahan atlet mereka, selain melihat kepada ruang penambahbaikan.
Selain itu juga, data yang dikumpulkan menjadikan satu-satu sukan itu lebih terbuka untuk dianalisa. Sebagai contoh, ini sukan yang memerlukan atlet mereka berlari paling jauh.
Sukan besbol: 0.09km
Atlet sukan besbol merupakan atlet yang paling kurang membuat larian sepanjang permainan. Dianggarkan secara purata, mereka hanya perlu berlari sejauh 0.09 km sahaja.
Statistik ini dikaji berdasarkan larian Mike Trout pada tahun 2015 bersama pasukannya Los Angeles Angels. Biarpun tidak banyak melakukan larian, sukan besbol masih dianggap mencabar ketahanan fizikal. Ini kerana mereka masih perlu membaling bola dan memukulnya dengan bat.
Menurut kajian juga, pemain-pemain di Major League Baseball mampu melalui 180 perlawanan kompetetif dalam masa tujuh bulan.
Sukan bola keranjang: 3.21km
Satu lagi sukan popular di kaca televisyen adalah bola keranjang. Namun begitu, gelanggang yang tidaklah terlalu besar menjadikan sukan ini kurang memerlukan atlet untuk berlari begitu jauh.
Secara puratanya, atlet professioanal di dalam liga National Basketball Association (NBA) hanya perlu berlari sejauh 3.21km. Pemain yang paling banyak berlari di NBA ialah Jimmy Butler dari pasukan Bulls Guard. Dianggap sebagai atlet paling fit dalam sejarah NBA berlari sejauh 4.3km bagi setiap perlawanan.
Sukan hoki: 8km
Kajian oleh Universiti Loughborough bersama-sama Persekutuan Hoki Antarabangsa menunjukkan betapa sukan hoki antara yang memerlukan kepada ketahanan fizikal. Secara purata, pemain hoki berlari sejauh 8-9km dalam masa yang sangat singkat iaitu 60 minit.
Sekiranya dibandingkan dengan bola sepak, sukan hoki memerlukan pemain untuk berlari jauh dalam masa yang jauh lebih singkat.
Sukan tenis: 10km
Sukan perseorangan tenis dianggap sukan yang sangat memerlukan kepada ketahanan fizikal. Jumlah larian yang perlu dibuat oleh atlet di dalam sukan tersebut adalah buktinya.
Namun begitu, jarak larian ini berbeza antara seorang atlet dengan atlet yang lain. Ini kerana, cara permainan dan teknik yang digunakan membezakan jarak yang perlu dijaga sepanjang perlawanan.
Kajian oleh IBM menunjukkan David Ferrer sebagai atlet tenis paling fit dengan jarak larian sejauh 10km.
Sukan bola sepak: 11km
Sepanjang 90 minit, tidak termasuk masa tambahan dan masa kecederaan, pemain bola sepak berlari sejauh 11km. Lima pemain teratas di English Premier League berlari lebih 13km bagi setiap permainan sepanjang musim 2019-2020.
Antara pemain yang mencatatkan larian paling jauh adalah Joshua Kimmich dari Bayern Munich. Beliau pernah merekodkan larian dengan jarak 13.73km bagi satu perlawanan.