Tindakan membanteras pendatang tanpa izin di negara ini yang jelas dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan peraturan perlu dihormati semua pihak.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) Norhisham Murujan berkata ini kerana setiap penahanan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dilakukan secara profesional dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“KPISM menyokong usaha kerajaan membanteras pendatang tanpa izin di negara ini diteruskan tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai reaksi kepada dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown yang diterbitkan oleh agensi berita asing Al Jazeera.
Norhisham turut menegaskan laporan agensi berita asing itu adalah tidak berasas malah dakwaan bahawa kebajikan pendatang tanpa izin diabaikan di negara ini, adalah tidak benar.
“Laporan yang dikeluarkan oleh agensi berita asing itu bersifat berat sebelah serta tidak tepat dari segi fakta dan situasi
“Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi menanggung kos menjaga mereka yang ditahan termasuk penyediaan makanan, tempat tinggal dan rawatan kesihatan ketika dan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Dalam pada itu, Norhisham berkata pegawai Jabatan Imigresen Malaysia telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik terutamanya dalam hal melibatkan risiko jangkitan COVID-19.
“Pegawai sanggup berdepan dengan risiko yang tinggi terutama mengawal dan mengurus Depot Imigresen yang menyaksikan jangkitan COVID-19 dalam kalangan tahanan.
“Terdapat pegawai terpaksa diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari bagi memastikan risiko jangkitan dapat dikawal. KPISM berharap segala pengorbanan dan usaha pegawai ini dihargai oleh semua pihak,” katanya.
Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.