Baru-baru ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia. Digelar sebagai Rumah Ikram KPKT, inisiatif ini adalah bagi membantu keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Sewa Rumah Ikram KPKT ditetapkan pada kadar RM124 sebulan. Sewaan percuma selama tempoh enam bulan juga disediakan bagi mereka yang layak. Tempoh masa yang dibenarkan untuk menyewa atau mendiaminya adalah selama dua tahun.
Sebagai permulaan, sebanyak 1,000 unit Rumah Ikram KPKT disediakan untuk permohonan. Permohonan dikhususkan untuk rakyat negara ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19 bagi keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
Lokasi Rumah Ikram KPKT
Setakat ini, Rumah Ikram KPKT dimulakan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR). PPR di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Johor dipilih sebagai projek rintis. Inisiatif ini akan dikembangkan ke seluruh negara oleh KPKT secara berperingkat-peringkat.
Ini senarai lokasi Rumah Ikram KPKT setakat ini:
- PPR Sentul Murni, Kuala Lumpur;
- PPR Lembah Subang 2, Selangor;
- PPR Amanjaya, Kedah;
- PPR Kota Setar, Kedah;
- PPR Sinar Intan 3, Kedah;
- PPR Kota Bharu, Kelantan;
- PPR Gua Musang, Kelantan dan
- PPR Sg. Melana 2, Johor.
Syarat-syarat permohonan Rumah Ikram KPKT
Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (IKRAM) dibuka kepada golongan B40 yang terkesan akibat Covid-19. Syarat-syarat permohonan adalah seperti berikut:
- Pemohon dan pasangan warganegara Malaysia;
- Pemohon berumur 18 tahun dan keatas;
- Pemohon tidak memiliki rumah, rumah sedia ada telah dilelong, tempoh sewaan ditamatkan oleh tuan rumah atau seumpamanya; dan
- Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000.00 sebulan.
Untuk memohon sewaan Rumah Ikram KPKT, pemohon boleh menghubungi talian hotline Jabatan Perumahan Negara (JPN) di talian 03-8891 4475. Maklumat lanjut juga boleh didapati di laman web TEDUH.