Selepas mengalami kejatuhan di pasaran telefon pintar global, Huawei pantas mengambil peluang lain untuk kekal releven. Pada bulan Februari yang lalu, Huawei dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk mengambil alih beberapa syarikat pengeluar kenderaan elekrtik yang berskala kecil. Dengan pengambil alihan ini Huawei dapat menggunakan bahagian pengeluaran syarikat tersebut dalam menghasilkan kereta elektrik tersendiri.

Pada mulanya Huawei dilaporkan berminat untuk mengambil alih model ArcFox di bawah BAIC BluePark New Energy Technology. Namun begitu, syarikat yang dimiliki oleh kerajaan ini hanya akan menggunakan teknologi Huawei tetapi tidak berminat untuk menjual model ArcFox kepada mereka.

Chongqing Jinkang New Energy Automobile yang dimiliki oleh Chongqing Sokon adalah antara syarikat yang disebut-sebut bakal dibeli Huawei. Chongqing Jinkang merupakan pemilik kepada model Seres SF5 yang baru-baru ini dilancarkan menggunakan beberapa teknologi Huawei Inside.

Ini termasuklah seperti sistem kuasa Huawei DriveONE, sistem hiburan Huawei HiCar dan sistem audio Huawei Sound. Seres SF5 ialah sebuah SUV elektrik hidrid (PHEV) yang dijual pada harga RM138,000 dan mendapat tempahan sebanyak 3,000 unit dalam masa dua hari.

Sasaran Huawei adalah mengeluarkan kenderaan elektrik di bawah jenama mereka sendiri selewat-lewatnya sebelum penghujung tahun ini.

Sumber: