Hanya sekitar lapan bulan yang lalu, Huawei berada di kedudukan teratas pengeluar telefon pintar terbesar di dunia. Namun kini, syarikat tersebut tidak lagi berada di kedudukan lima teratas. Pada penghujung bulan Mac yang lalu, Huawei mengakui bahawa sekatan ke atas syarikatnya oleh Amerika Syarikat memberikan kesan yang sangat besar terhadap penjualan telefon pintar mereka.
Menurut laporan Counterpoint, pada bulan Januari tahun ini, Oppo telahpun memintas Huawei di China sebagai pengeluar telefon pintar terbesar dengan pegangan pasaran sebanyak 21 peratus. Vivo berada di kedudukan kedua dengan 20 peratus dan Huawei, Apple dan Xiaomi masing-masing memegang 16 peratus. Jualan Oppo di China meningkat sebanyak 26 peratus berbanding tahun lalu.
Bagi pasaran telefon pintar dunia, suku tahun pertama menunjukkan Samsung kembali di kedudukan pertama bagi pengeluar telefon pintar terbesar di dunia dengan peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding tahun lalu. Apple turut mencatatkan peningkatan dengan pertambahan pembelian sebanyak 44 peratus di tempat kedua, manakala Xiaomi di tempat ketiga melonjak naik sebanyak 88 peratus.
Laporan oleh Strategy Analytics itu juga menunjukkan dari segi jumlah jualan pula, Samsung merekodkan jualan 77 juta telefon pintar, Apple dengan 57 juta jualan, Xiaomi dengan 49 juta, Oppo dan Vivo masing-masing sebanyak 38 juta dan 37 juta. Jumlah keseluruhan telefon pintar yang dijual bagi suku tahun pertama 2021 adalah sebanyak 340 juta unit, dengan 82 juta unit dijual oleh syarikat-syarikat lain.
Pegangan pasaran berdasarkan jumlah jualan telefon bimbit terbesar di dunia adalah seperti berikut:
- Samsung – 23 peratus;
- Apple – 17 peratus;
- Xiaomi – 15 peratus;
- Oppo – 11 peratus;
- Vivo – 11 peratus.
Baki jualan pula dipegang oleh syarikat-syarikat lain dengan 24 peratus pegangan pasaran. Huawei kini berada di dalam kelompok tersebut dengan jumlah jualan kurang daripada 11 peratus ataupun 37 juta unit.