Akibat Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh dunia, ramai pekerja yang sudah setahun tidak masuk ke pejabat dan bekerja dari rumah. Mesyuarat juga diadakan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai aplikasi iaitu Microsft Teams, Google Meet dan yang paling popular, Zoom. Dua orang pengkaji iaitu Gianpiero Petriglieri iaitu Profesor Madya di Insead dan Marissa Shuffler iaitu seorang Profesor Madya di Clemson University pernah mengkaji isu keletihan luar biasa akibat mesyuarat dalam talian ini lebih setahun yang lalu.
Menurut Petriglieri, panggilan video sebenarnya memerlukan lebih fokus berbanding bersemuka. Ini kerana, sewaktu bermesyuarat menerusi panggilan video, kita terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk memproses isyarat bukan lisan seperti riak wajah, nada dan tona suara serta bahasa tubuh. Tumpuan yang diperlukan untuk memporses isyarakt bukan lisan inilah sebenarnya menyebabkan kita sangat letih.
Kajian Shuffler pula memfokuskan kepada riak fizikal kita di hadapan kamera sewaktu bermesyuarat yang menyebabkan kita sedar tindak tanduk kita sentiasa menjadi fokus. Beliau meletakkan perumpamaan seperti seorang penyanyi di atas pentas yang mahu membuat persembahan dan sentiasa berusaha untuk kekal di dalam postur yang terbaik.
Antara majikan yang dilihat mengambil berat tentang keletihan akibat Zoom ini adalah HSBC. Di United Kingdom, gergasi perbankan itu sedang memulakan usaha untuk menjadikan Jumaat tengah hari sebagai waktu tanpa Zoom untuk membantu pekerja fokus kepada kerja-kerja lain yang tidak memerlukan kepada kesiapsediaan untuk bermesyuarat.
Sebelum ini, Citigroup dilihat memulakan trend Jumaat tanpa Zoom ini bagi memisahkan garisan kabur di antara pejabat dan rumah. Ini disusuli dengan KPMG yang dilihat mengambil langkah agresif untuk membenarkan pekerja masuk ke pejabat hanya empat hari dalam tempoh dua minggu.