Mengikut satu laporan Autosport, dua figura utama Kumpulan Formula Satu (F1) iaitu Ross Brawn dan Pat Symonds bakal meninggalkan organisasi itu pada akhir tahun hadapan.

Hal ini berdasarkan satu dokumen kemaskini F1 berkenaan masa hadapan organisasi itu.

Brawn, 67, bukan nama asing dalam dunia F1. Bermula sebagai jurutera Williams pada 1978, beliau kemudiannya membantu Benetton, Ferrari dan pasukannya sendiri Brawn GP muncul juara dunia untuk kategori pemandu dan pengeluar F1.

Brawn GP kemudiannya dijual kepada Mercedes selepas pengeluar kenderaan Jerman itu mengumumkan kemasukan mereka pada 2010.

Sejak 2017, Brawn dilantik sebagai pengarah urusan F1 dan bertanggungjawab memperkenalkan pelbagai inovasi kepada sukan berkenaan. Ini termasuk penggunaan pelindung kepala halo (2018) dan pengenalan format kelayakan perlumbaan pecut untuk musim 2021.

Bagaimanapun, tidak diketahui siapa bakal menggantikan Brawn sebagai pengarah urusan atau wujud peranan tertentu untuknya sama ada bersifat perunding atau kehormat.

Symonds merupakan rakan lama Brawn di Benetton sebelum membantu Renault dan Fernando Alonso muncul juara F1 sebanyak dua kali.

Beliau kini menjawat ketua jabatan teknikal F1 dan meneliti peraturan baru yang akan berkuatkuasa pada musim hadapan.

Peraturan baru F1 yang sepatutnya dikuatkuasakan musim ini ditangguhkan ke musim 2022 akibat pandemik Covid-19.

Salah satu tugas terakhir Symonds ialah meneliti dan menambahbaik peraturan enjin yang akan diperkenalkan pada 2026.

Perubahan peraturan yang dibuat untuk tahun tersebut dilihat cukup untuk menyakinkan Audi menyertai sukan permotoran itu pada tahun berkenaan.

Dalam perkembangan lain, ahli pasukan teknikal F1 yang bekerja di bawah Symonds akan dipindahkan ke FIA. Hal ini bersesuaian dengan undang-undang Kesatuan Eropah (EU) yang menetapkan pemisahan proses penggubalan undang-undang dan aktiviti promosi sesebuah organisasi.

15 orang jurutera dan pakar ini pernah merupakan jurutera kanan dalam pasukan-pasukan F1 dan terlibat dalam pelbagai penyelidikan daripada bahan api hingga aerodinamik.

Kebanyakan ahli pasukan termasuk ketua aerodinamik Jason Somerville akan diletakkan di bawah seliaan ketua hal ehwal perlumbaan satu tempat duduk FIA, Nikolas Tombazis.

Bagaimanapun, ketua prestasi jentera Craig Wilson diberi pengecualian untuk terus kekal berada dalam F1.

Beliau bukan saja bertanggungjawab mereka litar-litar baru tetapi turut memuktamadkan pakej teknikal jentera yang digunakan pasukan-pasukan F1.

Sumber: