Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan lanjutan penawaran diskaun sebanyak 50 peratus bagi saman terpilih kepada mereka yang membuat pembayaran melalui laman sesawang dan aplikasi MyBayar Saman. Tawaran yang sepatutnya berakhir pada 11 April 2021 (Ahad) lalu dilanjutkan sehingga 15 April 2021 (Khamis). Lanjutan selama empat hari tersebut berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang membuat pembayaran saman menerusi aplikasi berkenaan.

Tawaran yang bermula selama 18 hari mulai 25 Mac 2021 yang lalu berjaya mengumpulkan pembayaran sebanyak RM73.3 juta bayaran saman membabitkan 659,998 saman. Pembayaran boleh dibuat melalui aplikasi MyBayar Saman yang boleh dimuat turun di Google Store ataupun App Store. Selain itu juga, pembayaran boleh dibuat secara langsung di laman sesawang ini: MyBayar Saman.

MyBayar Saman dilancarkan oleh PDRM selaras dengan inisiatif kerajaan bagi menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai menjelang tahun 2022. Aplikasi ini dapat menjadi penanda aras baru dalam meningkatkan tadbir urus kewangan PDRM seterusnya mendukung dasar MY Digital dilancarkan kerajaan.

 

Sumber: