Datuk Azhar Azizan Harun mengangkat sumpah jawatan dan menduduki kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini di tengah-tengah kekecohan disuarakan kalangan Ahli Parlimen blok pembangkang.
Persidangan sesi petang yang bermula 2.30 petang itu panas dengan bantahan Ahli Parlimen pembangkang berhubung pemilihan Azhar sebagai Yang Dipertua dewan.
Tindakan pertama Azhar yang mengarahkan Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) keluar dewan setelah membuat gangguan ketika beliau berucap buat kali pertama selepas dilantik, sekali gus memperlihatkan ketegasan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu.
Keadaan hanya tenang seketika semasa Azhar berucap diikuti usul pelantikan Jawatankuasa Pemilih, tetapi kembali ‘panas’ gara-gara tindakan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengungkapkan ayat “gelap tak nampak” ketika Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) bangun mencelah mempersoalkan mengenai ketiadaan wanita dalam jawatankuasa itu.
Keadaan itu menyebabkan Kasthuriraani dan R.S.N Rayer (PH-Jelutong) bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat serta meminta Azhar mengarahkan Abdul Azeez menarik balik perkataan ‘gelap tak nampak’ kerana disifatkan berbaur perkauman.
Azhar berkata perkara yang dibangkitkan Kasthuriraani boleh dibawa semasa perbahasan usul itu dan meminta meneruskan perbahasan tanpa membuat keputusan mengenai perkataan yang diungkapkan Abdul Azeez.
Beberapa ahli blok pembangkang, antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa); Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) dan P. Prabakaran (PH-Batu) mendesak Azhar menetapkan peraturan atas perkataan diungkapkan Abdul Azeez.
Namun, Abdul Azeez mempertahankan perkataan yang digunakan atas alasan beliau juga berkulit gelap dan berkata: “pakailah bedak selesai masalah”.
Perkara itu ibarat mencurah minyak ke dalam api apabila Kasthuriraani mendakwa dirinya dianiayai berikutan kenyataan Abdul Azeez dianggap seksis.
Abdul Azeez bagaimanapun menarik balik perkataan itu setelah lebih 10 minit kekecohan dan desakan bertalu-talu blok pembangkang.
Usul pelantikan Jawatankuasa Pemilih yang berada pada perkara keenam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, yang sepatutnya dibahaskan, telah dilulus dengan suara majoriti tanpa dibahas disebabkan kekecohan itu.
Suasana ‘panas’ itu turut menyebabkan persidangan yang dijadual berakhir pada 5.30 petang, ditamatkan lebih awal apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan membuat usul menangguhkan sidang Dewan Rakyat lebih awal.
Usul penangguhan itu disokong oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan pada 3.32 petang dan akan bersambung esok.