Maklumat yang mengandungi data pembayaran cukai oleh golongan terkaya di Amerika Syarikat telah didedahkan oleh sebuah laman web penyiasatan, ProPublica. Laman web tersebut dikatakan mempunyai hasrat dan tujuan untuk mendedahkan penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan terhadap kepercayaan masyarakat oleh pemerintah, perniagaan dan institusi-institusi lain sambil mengekalkan etika kewartawanan.
Melalui pembacaan kami, ProPublica mendedahkan maklumat tentang pembayaran cukai oleh beberapa individu terkaya seperti Jeff Bezos, Elon Musk dan juga Warren Buffett.
Jumlah pembayaran cukai yang tidak munasabah
Menerusi pendedahan ini, kita dapat mengetahui bahawa individu seperti Elon Musk tidak membayar satu sen pun cukai pada tahun 2018 manakala Jeff Bezos tidak membuat sebarang pembayaran langsung pada tahun 2007 dan 2011. Maklumat pembayaran cukai ini adalah sulit dan tidak boleh didedahkan kepada umum menurut jurucakap White House. Federal Bureau of Investigation (FBI) dan Internal Revenue Service (IRS) iaitu badan kerajaan yang menguruskan pembayaran cukai sedang menyiasat tentang kebocoran maklumat ini.
Menurut ProPublica, mereka sedang menganalisis data yang diperolehi dari IRS tentang pembayaran cukai golongan bilionair di Amerika Syarikat. Laman web itu akan mendedahkan lagi maklumat terperinci dalam masa beberapa minggu lagi.
Pada pandangan mereka, pembayaran cukai bagi 25 orang terkaya di Amerika Syarikat adalah tidak munasabah. Golongan terkaya itu dilaporkan hanya membayar purata 15.8 peratus cukai daripada pendapatan mereka berbanding golongan pekerja lain di negara tersebut.
Isu pembayaran cukai sedang hangat dibincangkan di Amerika Syarikat sejak April tahun ini apabila pentadbiran Joe Biden dan Parti Demokrat mencadangkan kenaikan cukai bagi golongan terkaya.
Cukai ‘sebenar’ yang dibayar pada tahun 2014-2018
Pendedahan ProPublica menggunakan dapatan daripada laporan tahunan Forbes tentang anggaran kekayaan golongan terkaya ini berbanding jumlah cukai yang dibayar oleh mereka saban tahun. Pro Publica menganggap kiraan jumlah ini sebagai cukai pada kadar sebenar (true rate tax).
Hasilnya amat memeranjatkan. Seramai 25 orang yang terkaya di Amerika Syarikat membawa pulang kekayaan sebanyak RM1.651 trilion ($401 bilion) sepanjang 2014-2018. Menerusi jumlah pendapatan tersebut, mereka dilaporkan membayar sebanyak RM55.998 bilion ($13.6 bilion) dalam bentuk cukai kepada Internal Revenue Service (IRS).
Sekiranya dikira melalui kadar sebenar, jumlah pembayaran cukai tersebut hanyalah pada kadar 3.4 peratus.
Sebagai contoh, seorang pekerja kelas pertengahan di Amerika Syarikat pada usia 40-an mempunyai harta yang lebih kurang sama dengan pekerja lain pada usianya. Pada tahun 2014 hingga 2018, nilai hartanya bertambah kepada RM267,637.50 ($65,000) selepas cukai secara purata dan ianya meningkat disebabkan peningkatan nilai hartanah yang dimilikinya. Disebabkan sejumlah besar pendapatan mereka diterima dalam bentuk gaji, maka cukai yang dikenakan sepanjang lima tahun itu secara puratanya adalah sebanyak RM255,285.00 ($62,000).
Ini membezakan pendapatan mereka dengan golongan terkaya yang dikumpul melalui keuntungan pelaburan.
Berbanding 25 orang daripada golongan terkaya ini, Warren Buffett merupakan pembayar cukai terendah. Ini amat memeranjatkan apabila beliau merupakan suara yang lantang menyokong pembayaran cukai yang lebih tinggi oleh golongan terkaya. Menurut Forbes, kekayaannya meningkat sebanyak RM100 bilion ($24.3 bilion) sepanjang 2014 hingga 2018. Dan sepanjang lima tahun itu, Buffett hanya membayar cukai dengan nilai RM97.5 juta ($23.7 juta).
Sekiranya mengikut kadar cukai sebenar, jumlah tersebut hanyalah 0.1 peratus daripada pendapatannya. Lebih mudah lagi, berbanding $100 yang dikumpul, beliau hanya perlu membayar kurang $0.10 dalam bentuk cukai pendapatan kepada Internal Revenue Service (IRS).
Usul kenaikan cukai pelaburan golongan kaya
Pada penghujung April lalu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengusulkan kenaikan cukai atas keuntungan pelaburan individu kaya negara itu. Kutipan cukai tersebut dirancang untuk digunakan bagi membiayai pelan untuk membantu keluarga paling miskin di Amerika Syarikat.
Biden minggu ini dijangka membentangkan Rancangan Keluarga Amerika Syarikat yang berjumlah RM7.3 trilion ($1.8 trilion) yang akan menyediakan skim penjagaan anak nasional, cuti keluarga berbayar dan kolej komuniti percuma. Untuk tujuan itu, dana akan dikumpulkan melalui pengenalan cukai yang lebih tinggi ke atas golongan paling kaya di negara tersebut bagi mengimbangi jurang perbezaan antara kaya dan miskin.
Menurut Ketua Majlis Ekonomi White House, Brian Deese kenaikan levi atas keuntungan hasil jualan saham dan aset lain hanya merangkumi mereka yang meraih RM4.2 juta ($1 juta) setahun, membabitkan iaitu hanya 500,000 pembayar cukai AS. Sekiranya memetik data cukai pada tahun 2018, perubahan ini hanya membabitkan tiga per sepuluh daripada satu peratus pembayar cukai yang bukan satu peratus atau setengah peratus teratas sahaja.
Rancangan tersebut dijangka akan meningkatkan kadar cukai keuntungan modal kepada 39.6 peratus daripada 20 peratus. Seperti yang dijangka, Part Republikan dan kumpulan perniagaan menyatakan membantah sebarang perubahan kepada struktur pembayaran dan kenaikan cukai dengan menyatakan ia tidak akan menggalakkan pelaburan swasta.
Data membimbangkan tentang golongan miskin di Amerika
Menurut kertas penyelidikan yang dikeluarkan oleh Oxfam America dengan kerjasama Economic Policy Institute (EPI), terdapat 60 juta orang rakyat Amerika Syarikat hidup dengan pendapatan minima. Seramai 15 juta daripada mereka pula adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.
Laporan Jabatan Buruh Amerika Syarikat pada tahun 2018 pula menunjukkan seramai 80.4 juta pekerja pada usia 16 tahun dan ke atas hanya dibayar pada kadar gaji minima sahaja. Jumlah ini mewakili 58.3 peratus daripada pekerja di negara tersebut yang bekerja dan menerima pendapatan dengan gaji bulanan. Lebih membimbangkan lagi, laporan pada tahun 2019 mendedahkan seramai 3.2 juta buah keluarga hidup di bawah paras kemiskinan.
Dapatan data ini adalah sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Laporan yang dibentangkan kepada Kongres menunjukkan sewaktu pandemik melanda pada Mac 2020, kadar pengangguran mencecah 14.8 peratus iaitu jumlah tertinggi sejak data ini dikumpulkan mulai tahun 1948. Pada bulan April tahun ini, kadar pengangguran kekal tinggi sebanyak 6.1 peratus berbanding kadar sebelum pandemik iaitu pada Februari 2020 sebanyak 3.5 peratus. Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan jutaan penduduk terutamanya kanak-kanak dan golongan rentan. Berbanding 327.2 juta penduduk Amerika Syarikat, seramai 552,830 daripada mereka pula adalah gelandangan yang turut termasuk di dalam golongan termiskin ini.
Maka terdapat keperluan mendesak untuk pentadbiran Joe Biden mengubah nasib golongan ini.