Terdapat kira-kira 16,000 buah bas dan van sekolah yang berdaftar dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM). Pada tahun 2019 juga, PPPBSM menganggarkan terdapat lebih 50,000 lagi van yang mengangkut pelajar sekolah tanpa lesen dan pendaftaran yang sah.
Mengikut peraturan, bas dan van sekolah perlu berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Selain itu juga, kenderaan tersebut wajib menjalani pemeriksaan berkala dan mendapat kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sebelum dibenarkan beroperasi.
Setiap pemandu bas dan van sekolah juga perlu ada Lesen Memandu Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV). Lesen ini merupakan naik taraf daripada lesen memandu biasa dan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Secara purata, nisbah hampir 1:10 dianggarkan bagi membezakan bas dan van sekolah yang berdaftar dan tidak berdaftar di negara ini. Ini merupakan latar belakang keselamatan yang mungkin terabai sekiranya pelajar sekolah menaiki van dan bas persendirian.
Sebab bas sekolah dicat dengan warna kuning
Ciri-ciri keselamatan pertama pada sebuah bas sekolah adalah warnanya. Bukan dipilih secara rawak, warna kuning dipilih sejak tahun 1939 lagi atas faktor keselamatan.
Sekitar April 1939, sebuah persidangan yang membincangkan tentang keselamatan bas sekolah di Amerika Syarikat telah diadakan. Di dalam persidangan tersebut, terdapat 44 ciri-ciri keseragaman mengenai keselamatan bas sekolah telah dibincangkan dan dibahaskan.
Persidangan ini telah dianjurkan oleh Dr. Frank W. Cyr, seorang professor dari Kolej Perguruan di Columbia University, New York. Warna kuning-oren dipilih semasa persidangan ini sebagai warna rasmi bas sekolah atas beberapa faktor:
- Ia merupakan warna yang sangat menonjol di dalam suasana harian;
- Warna kuning mudah dilihat pada waktu awal pagi, lantaran waktu operasi bas sekolah;
- Kecenderungan manusia untuk menyedari warna kuning adalah 1.24 kali ganda lebih tinggi berbanding warna merah; dan
- Warna ini juga bersesuaian untuk digunakan bersama warna hitam di badan bas.
Bermula sebagai warna rasmi bas sekolah di Amerika Syarikat dan Kanada, ia kemudiannya tersebar ke seluruh dunia.
Jalur hitam pada badan bas sekolahÂ
Selain daripada warna kuning, bas sekolah juga memiliki jalur berwarna hitam yang dicatkan pada badannya. Sebenarnya, jalur hitam ini juga merupakan ciri keselamatan yang tersendiri pada bas tersebut.
Beberapa buah negeri di Amerika Syarikat mewajibkan pemasangan rub rails pada cat hitam tersebut. Ia merupakan sekeping keluli panjang yang sangat kuat dan memegang badan bas tersebut. Sekiranya berlaku sebarang insiden kemalangan, kerangka badan bas akan disokong oleh rub rails ini untuk mengelakkannya mudah kemek. Secara tidak langsung, ia melindungi penumpang bas tersebut yang rata-ratanya merupakan kanak-kanak.
Rub rails ini juga dicat dengan warna hitam, kadangkala dengan dua ataupun tiga jalur. Jalur-jalur ini melambangkan kedudukan penumpang di dalam bas tersebut.
Jalur pertama adalah kedudukan tubuh kanak-kanak semasa duduk di dalam bas. Lapisan kedua pula dicat selari dengan kedudukan kerusi penumpang. Manakala jalur di bawah sekali melambangkan kedudukan lantai bas.
Sekiranya berlaku sebarang insiden kemalangan, pihak Bomba mudah untuk mengesan kedudukan mangsa di dalam bas. Ia hanya berdasarkan kedudukan jalur tersebut.