Pada tahun 2020, Bill Gates dilaporkan telah mengosongkan kerusi lembaga pengarah Microsoft bagi membuka ruang terhadap siasatan dalaman syarikat terhadap hubungan intim beliau dengan seorang pekerja Microsoft. Pengasas dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft itu telah diminta untuk meninggalkan tugasnya sekitar bulan Mac 2020.

Keputusan tersebut dibuat oleh ahli lembaga pengarah yang lain untuk memberikan ruang kepada penyiasatan terhadap laporan hubungan romantik Bill Gates yang pada waktu itu masih lagi berkahwin dengan mantan isterinya, Melinda.

Menurut laporan media, hubungan tersebut berlaku sekitar tahun 2000, iaitu hampir 21 tahun yang lalu. Perkara ini didedahkan kepada lembaga pengarah Microsoft pada suku tahun kedua 2019. Pekerja tersebut, seorang jurutera di Microsft menulis surat memaklumkan tentang hubungan seksual mereka sepanjang beberapa tahun. Lembaga pengarah Microsoft melantik sebuah firma guaman luar bagi menyiasat dakwaan ini.

Biarpun mengasaskan Microsoft pada tahun 1975, Bill Gates tidak lagi mempunyai posisi pentadbiran di syarikat tersebut. Pada tahun 2000, beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan meninggalkan posisi pentadbiran sepenuhnya pada tahun 2008 bagi memberikan fokus kepada kerja-kerja amal di Bill and Melinda Gates Foundation.