Farm Fresh Sdn Bhd bakal menjadi syarikat pengeluar tenusu pertama negara disenaraikan di Bursa Malaysia. Sebelum ini, ura-ura penyenaraian tersebut telah diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Operasinya, Azmi Zainal.
Sekitar Disember 2019, pihak Farm Fresh sudahpun memulakan proses permohonan penyenaraian dan bakal menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO). Pada ketika itu, Farm Fresh menjangkakan IPO bakal diterbitkan pada sekitar November 2020.
Namun begitu, suasana pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini menangguhkan cita-cita IPO tersebut. Berkemungkinan besar, Farm Fresh bakal disenaraikan pada awal tahun hadapan. Ini kisah bagaimana syarikat yang bermula dengan 60 ekor lembu mampu melangkah jauh hingga ke Bursa Saham Malaysia.
Bermula dengan lembu yang salah
Farm Fresh diasaskan sebagai The Holstein Milk Company Sdn Bhd (THMC) oleh Loi Tuan Ee yang mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang pertanian. Impian Loi adalah untuk menghasilkan produk tenusu yang segar dan asli secara semula jadi. Banyak produk tenusu yang sedia ada di pasaran dihasilkan semula dari campuran susu tepung dan susu segar.
Pada tahun 2008, The Holstein Milk Company hanya memiliki 60 ekor lembu sahaja. Lembu tersebut diimport dari Australia dan bakanya pula dari jenis Holstein. Berdasarkan pengeluaran susu di peringkat awal, lembu baka Holstein ini rupanya tidak sesuai dengan iklim tropika tempatan.
Tahun-tahun awal perniagaan THMC tidaklah semudah yang disangka. Namun begitu, apabila kerajaan mula memberikan perhatian kepada industri penternakan seperti produk tenusu, THMC berjaya mendapat perhatian.
Sebelum ini, Loi berusaha untuk mendapatkan pinjaman daripada bank. Namun permohonan beliau ditolak. The Holstein Milk Company akhirnya mendapat perhatian Khazanah Nasional Berhad dengan pembelian sebanyak 30 peratus pegangan.
Dengan dana tersebut, THMC berjaya menghasilkan baka lembu sendiri yang lebih sesuai dengan iklim tempatan. Lembu baka Australian-Friesian-Sahiwal merupakan sejenis lembu tenusu hybrid yang mampu menyesuaikan diri dengan cuaca panas. Lembu ini merupakan game changer yang diperlukan oleh Farm Fresh untuk menepati sasaran pengeluaran susu untuk memenuhi keperluan.
Ia mengubah segalanya buat Farm Fresh.
Segmen usahawan Farm Fresh melonjakkan jualan
Untuk menggugat jenama antarabangsa yang sudah lama bertapak di Malaysia bukanlah tugas yang mudah. Nestle, Dutch Lady, Fernleaf dan F&N sudah lama bertakhta di hati rakyat Malaysia.
Farm Fresh bermula dengan segmen kecil-kecilan. Ketua Pegawai Operasinya, Azmi Zainal bertanggungjawab membina jenama Farm Fresh daripada jualan di pasar malam dan pasar tani. Kemudiannya, beliau membangunkan segmen usahawan Farm Fresh yang akhirnya menjadi batu loncatan penting buat Farm Fresh.
Kumpulan usahawan ini menjual Farm Fresh dari rumah dan tempat kerja mereka. Idea genius ini akhirnya berjaya memberikan demand yang diperlukan untuk Farm Fresh memasuki pasar raya dan gedung beli belah terkemuka.
Biarpun sudah mempunyai rangkaian jualan, kumpulan usahawan Farm Fresh ini masih memainkan peranan yang penting. Pada tahun lalu, sebanyak 20 hingga 25 peratus jualan syarikat disumbangkan daripada segmen usahawan Farm Fresh.
Dari ladang lembu ke Bursa Saham
Draf prospektus Farm Fresh sudah boleh didapati di website Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk bacaan awal para pelabur. Melalui draf tersebut, kita dapat lihat bagaimana syarikat ini berkembang dengan pantas mulai tahun 2018.
Pegangan pasaran susu segar tempatan pada tahun 2018 dikuasai oleh Dutch Lady dengan 42 peratus. Farm Fresh berada di kedudukan kelima dengan 8 peratus. Sekitar Jun 2021, pegangan pasaran Dutch Lady menyusut kepada 37 peratus. Farm Fresh berada di kedudukan kedua dengan 18 peratus, mendahului jenama besar seperti Nestle dan Etika.
Pendapatan bersih sebelum cukai syarikat ini meningkat sekitar 86.8% menjadi RM67.59 juta pada tahun kewangan 2021 berbanding RM36.18 juta pada tahun kewangan 2020.
Menurut Frost & Sullivan, Farm Fresh mempunyai pertumbuhan pendapatan yang baik dan mempunyai potensi untuk berkembang lebih besar lagi.
Kebolehan syarikat untuk beroperasi dengan kos yang sangat rendah juga memberikan kelebihan kepada syarikat ini kepada ketidaktentuan harga susu mentah di pasaran. Syarikat ini juga dilihat mempunyai daya saing yang kuat dengan inovatif produk syarikat yang membolehkan Farm Fresh terus mendapat tempat dalam hati pelanggan mereka.
Farm Fresh bakal menerbitkan lebih daripada 700 juta saham dengan jangkaan nilai pasaran berjumlah RM2 bilion.