Ketika kita mempelajari subjek Geografi sewaktu di Tingkatan 1, bumi diperkenalkan dengan mempunyai tujuh buah benua. Kamus Dewan Edisi Keempat pula mentakrifkan benua sebagai daratan yang sangat luas.
Sepanjang yang diketahui dan diterima umum, terdapat tujuh benua di dunia iaitu Asia, Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan,Afrika, Antartika dan Australia. Namun begitu, pada sekitar tahun 2017 dunia dikejutkan dengan penemuan sekumpulan ahli geologi dan saintis dari New Zealand.
Bayangkan, negara kepulauan sekecil New Zealand sebenarnya berasal dari dataran besar yang digelar Zealandia. Saiznya pula hampir separuh dari daratan yang membentuk benua Australia.
Maka, adakah kemungkinan peta dunia yang digunakan di sekolah bakal berubah?
Penemuan Zealandia buat kali yang pertama
Mengikut catatan sejarah, Zealandia kali pertama ditemui oleh pelayar berbangsa Belanda yang bernama Abel Tasman. Di dalam pelayaran beliau, tujuannya hanyalah untuk mencari tanah dataran di hemisfera selatan.
Pandangan dan teori Bangsa Eropah pada sekitar abad ke-16 itu adalah wujudnya dataran tanah yang luas di hemisfera selatan. Ini bagi mengimbangi dataran tanah lain yang sudahpun ditemui dan diteroka di hemisfera utara. Maka, pelayaran Abel Tasman pada tahun 1642 itu hanyalah untuk mengesahkan teori tersebut.
Abel Tasman mula berlayar dari pelabuhan syarikatnya di Indonesia. Bersama dua buah kapal kecil, mereka menghala ke barat, ke selatan dan kemudiannya ke arah timur. Pelayaran tersebut membawa mereka ke selatan New Zealand. Namun begitu, pertemuan pertama Abel dengan penduduk Maori tidak menyebelahi kumpulannya.
Penduduk Maori menyerang bot kecil yang dinaiki kumpulan pelayar Eropah tersebut dengan kenu, lantas menyebabkan bot tersebut karam. Empat orang pelayar Eropah mati akibat serangan tersebut. Kumpulan pelayar ini kemudiannya menembak sebelas buah kenu penduduk Maori dengan bedilan meriam. Namun, tidak dapat dipastikan apakah nasib kenu-kenu tersebut.
Tanpa sempat turun ke tanah dataran tersebut, Abel Tasman masih percaya yang kawasan itu merupakan dataran tanah yang luas. Akibat peristiwa tersebut, beliau tidak pernah kembali.
Penemuan kali kedua pada tahun 2017
Sekumpulan pakar geologi dan saintis dari New Zealand menggegarkan dunia pada tahun 2017 dengan pengumuman mengenai benua Zealandia. Kajian tersebut diketuai oleh pakar geologi New Zealand yang tersohor, Nick Mortimer. Di dalam kajian yang dibentangkan di dalam Geological Society of America’s Journal, benua tersebut dianggarkan seluas 5 juta kilometer per segi.
Secara perbandingannya, ia bersaiz enam kali ganda Madagascar. Benua Zealandia juga bersaiz dua pertiga daripada benua terdekat iaitu Australia.
Namun begitu, 94 peratus daripada daratan tanahnya kini tenggalam di dasar laut. Sehingga kini, New Zealand hanya merangkumi kawasan pulau utara dan selatan, serta Pulau New Caledonia. Ahli geologi masih mengkaji bila daratan tanah tersebut tenggelam dan apakah puncanya.
Sekiranya diterima oleh dunia sejagat, penemuan terbaharu itu bakal memecahkan rekod sebagai benua kelapan. Ia juga merupakan benua yang terkecil dan termuda di dunia.