Selepas pelbagai mutasi varian yang dikenal pasti susulan daripada pandemik Covid-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengesan satu lagi varian baharu iaitu B.1.621 yang dinamakan sebagai Varian Mu. Semua virus, termasuk SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19, bermutasi dari masa ke masa dan kebanyakan perubahan tidak banyak mempengaruhi sifat virus. Namun, mutasi tertentu dapat mengubah seberapa mudah virus menyebar, gejala serius penyakit atau tindak balasnya untuk melawan vaksin dan ubat-ubatan.

Varian Mu pertama kali dikesan di Colombia pada Januari tahun ini, kini telah menjadi varian dominan di negara itu. Setakat ini, varian tersebut masih lagi diklasifikasikan sebagai ‘Variant Of Interest’ (VOI) oleh WHO. Bagaimanapun, varian ini diketahui telah merebak ke hampir 39 buah negara.

Varian yang sedang mengganas di Colombia

Kredit gambar: https://media.ifrc.org/ifrc/2020/05/25/colombian-red-cross-supports-thousands-migrants-midst-covid-19-pandemic/

Menurut Marcela Mercado, seorang pegawai kesihatan di Colombia Varian Mu ini dijangka mampu untuk menjadi gelombang pandemik yang paling berpotensi membawa maut. Varian Mu telah menyebabkan banyak kes kematian ekoran gelombang jangkitan ketiga di Colombia antara bulan April hingga Jun tahun ini.

Dalam tempoh tersebut, sekitar 700 kematian direkodkan setiap hari. Manakala hampir dua pertiga ujian pada individu yang sudah meninggal mendapati mereka kembali positif untuk Varian Mu.

Terdapat kebimbangan meluas mengenai kemunculan varian baru ketika kadar jangkitan meningkat di seluruh dunia, dengan sebelum ini Varian Delta yang sangat mudah menular. Risiko lebih tinggi terutama dalam kalangan mereka yang tidak divaksinasi dan di wilayah di mana langkah-langkah kawalan virus sudah dilonggarkan.

WHO menyatakan, secara lazimnya kes mutasi akan menurun hingga di bawah 0.1 peratus dalam kalangan kes yang diuruskan. Bagaimanapun, di Colombia, Varian Mu itu berada pada tahap 39 peratus. Kurang daripada satu pertiga penduduk negara tersebut sudah divaksin, dengan kematian hampir 125,000 nyawa direkodkan di negara itu hingga kini.

Varian Mu kini merebak di 39 buah negara

Kredit gambar: https://www.thedailybeast.com/the-new-mu-covid-variant-started-in-colombia-this-is-what-happened

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat ini varian B.1.621 ini telah dikesan di 39 buah negara. Pada ketika ini, WHO mengenal pasti empat varian Covid-19 yang menjadi perhatian, termasuk Alpha, yang terdapat di 193 negara, dan Delta, yang terdapat di 170 negara.

Selepas dikesan di Colombia, Varian Mu dilaporkan telah merebak di negara Amerika Selatan dan Eropah yang lain. Sehingga hari ini, Varian Mu telahpun dikesan di Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Ecuador, Kanada dan beberapa negara lain di Eropah

Terdapat kira-kira 2,000 kes Varian Mu dikesan di Amerika Syarikat setakat ini. Sebilangan besar kes direkod di California, Florida, Texas dan New York. Namun begitu, setakat ini kurang daripada 0.1 peratus jangkitan Covid-19 di seluruh dunia dikesan sebagai Varian Mu.

Jangkitan Varian Mu dikesan di Jepun dan Korea Selatan

Kredit gambar: https://www.japantimes.co.jp/news/2021/09/02/national/japan-coronavirus-mu-variant/

Jepun mengesahkan kes pertama Varian Mu daripada dua individu yang tiba dari luar negara melalui pemeriksaan di lapangan terbang pada 2 September lalu. Kementerian Kesihatannya mengumumkan, varian Mu itu dikesan pada seorang wanita berusia 40-an yang tiba pada 26 Jun dari Emiriah Arab Bersatu (UAE). Manakala satu lagi kes dikesan membabitkan seorang wanita berusia 50-an yang tiba pada 5 Julai dari United Kingdom (UK). Kedua-dua wanita itu tidak menunjukkan sebarang gejala ketika tiba di lapangan terbang.

Korea Selatan pula mencatatkan kes pertama membabitkan varian Mu dalam tiga sampel pesakitnya, lapor agensi berita Yonhap. Varian Mu disahkan dijumpai dalam tiga sampel kes import termasuk dari Mexico, Amerika Syarikat dan Colombia, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).