Sekiranya diteliti dari sudut bahasa, menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 interim membawa maksud bersifat sementara sehingga satu penyelesaian yang mantap dicapai. Manakala dari sudut undang-undang pula, istilah Perdana Menteri interim tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, definisi fungsi dan skop kuasa Perdana Menteri interim perlu merujuk kepada beberapa peruntukan berkaitan kuasa Yang Di-Pertuan Agong yang melantik seorang Perdana Menteri. Selain itu juga, perlu dilihat sama tugas dan kuasa Perdana Menteri dan kaedah penubuhan kerajaan, serta keseluruhan semangat Perlembagaan itu sendiri.

Berikut dibincangkan secara ringkas tentang sejarah lantikan dan fungsi tugas seorang Perdana Menteri interim.

Sejarah lantikan Perdana Menteri interim

Kredit gambar: https://www.thaipbsworld.com/mahathir-loses-out-in-pm-bid-but-refuses-to-give-up/

Dalam sejarah demokrasi negara, pelantikan Perdana Menteri interim ini berlaku kali pertama selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Dengan perkenan Baginda, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri sementara sebelum Tan Seri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8.

Situasi ini juga sebenarnya hampir sama dengan situasi pembubaran Parlimen. Menurut kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN) semasa peletakan jawatan Tun Dr Mahathir, tugas-tugas anggota pentadbiran lain yang turut merangkumi Timbalan Perdana Menteri, para menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik, adalah terhenti pada tarikh peletakan jawatan Perdana Menteri.

Dari sudut Perlembagaan, peletakan jawatan seorang Perdana Menteri menyebabkan seluruh kabinet tidak lagi berfungsi secara biasa. Prinsip ini dapat difahami dari Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan. Penamatan jawatan anggota kabinet dan pemegang lantikan politik lain di bawah Perkara 43(5) memperkukuhkan konsep ini.

Maka, keadaan yang sama juga sedang berlaku pada hari ini sehingga Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik seorang Perdana Menteri baharu.

Fungsi dan tugas Perdana Menteri interim

Kredit gambar: https://www.therakyatpost.com/2021/08/16/mahaiddin-is-now-malaysias-caretaker-prime-minister-ge15-not-advised/

Pada hari ini, setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, kuasa dan peranan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sementara hanya terhad kepada meneruskan dasar sedia ada sahaja. Peranan Perdana Menteri sementara diperlukan untuk melancarkan jentera kerajaan, namun tidak boleh melaksanakan dasar baharu atau meluluskan sebarang peruntukan kewangan tambahan.

Bidang tugas seorang Perdana Menteri interim terhad kepada:

  1. Menguruskan pentadbiran negara. Dalam hal ini skop kuasa Perdana Menteri interim adalah hampir serupa dengan skop kuasa kerajaan sementara (caretaker government) yang berlaku selepas Parlimen dibubarkan.
  2. Membantu bagi melancarkan proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Perdana Menteri interim juga boleh meminta pandangan Peguam Negara bagi menjalankan fungsi eksekutif dan menasihati Yang di-Pertuan Agong sehingga seorang Perdana Menteri yang baharu dilantik. Biarpun tiada kabinet, pentadbiran biasa kerajaan tetap berjalan tanpa terhenti.

Ini kerana, dalam situasi ketiadaan anggota kabinet, Yang di-Pertuan Agong akan terus melaksanakan peranan asasi baginda sebagai ketua utama negara. Penjawat awam di bawah kendalian Ketua Setiausaha Negara akan terus bertugas seperti biasa.