Sebelum ini, pembacaan berita antarabangsa biasanya berkisar daripada beberapa sumber terkenal. Antaranya adalah Agence France-Presse (AFP), Reuters, The New York Times dan Bloomberg. Syarikat Reuters merupakan sebuah organisasi berita antarabangsa yang terulung di dunia. Diasaskan oleh Paul Reuter pada tahun 1851 di London, pada hari ini Reuters yang dimiliki oleh Thomson Reuters kekal dengan identiti bebas dan tidak berpihak mereka.
Selepas The New York Times, The Wall Street Journal dan Bloomberg mengenakan pembayaran terhadap pembaca mereka, kini Reuters merancang untuk melakukan perkara yang sama. Sumber berita pantas Reuters menjadi hadaman 41 juta orang pembaca unik setiap bulan. Dengan kekuatan 2,500 wartawan dan 600 jurugambar wartawan di lebih 200 lokasi di seluruh dunia, Reuters adalah sumber berita bebas yang pantas dan penting.
Sebelum ini, kewangan syarikat mereka dipacu oleh pengiklanan di surat khabar. Apabila pencetakan ditelan zaman oleh pendigitalan, keuntungan yang dijana oleh pengiklanan digital untuk menarik pembaca adalah tidak berpadanan dengan kos operasi sebuah organisasi besar seperti Reuters.
Menurut laporan media, Reuters akan mengenakan bayaran sebanyak RM144.46 bagi setiap bulan. Selepas ini, pembaca hanya boleh membaca lima berita secara percuma, kemudiannya berita seterusnya memerlukan kepada bayaran untuk dibaca.