Jika anda tanya adakah Taiwan sebuah negara bebas atau sekadar wilayah China, jawapan paling tepatnya adalah kedua-duanya. Jawapan ini sahaja sudah cukup untuk menjelaskan betapa kompleksnya sejarah dan status Taiwan.
Taiwan adalah sebuah wilayah kepulauan yang terletak di tenggara China, barat daya Jepun dan utara Filipina. Taiwan hanya berkeluasan 36,197 kilometer persegi (lebih kurang keluasan Pahang) tetapi penduduknya seramai 24 juta. Ini menjadikan Taiwan antara ‘negara’ maju yang paling padat penduduknya.
Untuk memahami persoalan ‘adakah Taiwan sebahagian China atau tidak’, kita perlu kembali menyelusuri sejarah Taiwan-China pada akhir abad ke-19. Pada ketika ini, China diperintah oleh dinasti terakhir iaitu Dinasti Qing.
Jepun rampas Taiwan dari Dinasti Qing
Wilayah Dinasti Qing merangkumi semua negara China hari ini, Taiwan, Mongolia dan beberapa wilayah lain seperti Tibet dan sebahagian kecil Rusia.
Pada tahun 1894, Perang Sino-Jepun Pertama tercetus antara Dinasti Qing dengan Empayar Jepun yang berlangsung di Korea dan Taiwan. Pada ketika ini, Korea diperintah oleh Dinasti Joseon yang mempunyai hubungan rapat dengan Dinasti Qing.
Perang Sino-Jepun Pertama ini berakhir pada 1895 dengan kemenangan berpihak kepada Jepun. Akibatnya, Taiwan diserah kepada kekuasaan Empayar Jepun.
Kekalahan perang ini turut menamatkan era Dinasti Joseon di Korea. Ini sekaligus menjamin kemerdekaan Korea daripada China. Tetapi pada masa yang sama, ia juga bermakna Korea dijajah oleh Jepun pula.
Sistem monarki China digulingkan
Pada tahun 1912, selepas hampir satu abad diperintah oleh pelbagai dinasti maharaja, keluarga monarki China akhirnya digulingkan oleh golongan nasionalis.
Republik China kemudiannya dibentuk. Sun Yat-sen dilantik menjadi presiden sementara di Nanjing.
Tetapi 1,066km di utara Nanjing, Yuan Shikai telah pun melantik dirinya sendiri sebagai presiden di Beijing. Ini kerana Shikai merupakan ketua Tentera Beiyang, unit ketenteraan terbesar di China.
Untuk mengelak konflik, Sun Yat-sen bersetuju menerima Shikai sebagai presiden Republik China yang pertama. Bagaimanapun sebagai presiden Parti Nasionalis China, Yat-sen menyalah gunakan kuasanya untuk mengetuai cubaan menggulingkan Shikai.
Cubaan tersebut gagal. Yat-sen kemudiannya lari ke Jepun.
Susulan cubaan menggulingkannya yang gagal, Shikai terus membubarkan Parti Nasionalis China. Kemudian pada tahun 1915, beliau mengembalikan pemerintahan monarki di China dengan melantik dirinya sendiri menjadi Maharaja China.
Shikai hanya sempat hidup setahun sebagai Maharaja sebelum meninggal dunia. Kematiannya mewujudkan ‘Era Panglima Perang’ (1916-1928) sebagaimana yang dikenali dalam sejarah China.
Sun Yat-sen dapatkan bantuan Soviet Union
Pada Era Panglima Perang inilah, China berpecah kepada dua puak: puak utara dan puak selatan.
Pada tahun 1917, Yat-sen balik dari Jepun ke China untuk mengembalikan status negaranya sebagai sebuah republik. Beliau menghidupkan semula Parti Nasionalis China tetapi di bawah nama baru iaitu Kuomintang.
Kerajaan Republik China di bawah Yat-sen ini hanya berkuasa di selatan China. Di utara, panglima-panglima perang Tentera Beiyang masih berkuasa.
Untuk menyatukan negaranya, Yat-sen perlu melakukan sesuatu. Tetapi beliau tiada tentera untuk menentang panglima-panglima perang Tentera Beiyang. Selepas gagal mendapat bantuan dari Amerika, Perancis dan England, Yat-sen akhirnya mendapat bantuan dari Soviet Union.
Sebagai balasan kerana membantu mendapatkan tentera, Soviet Union mahu Parti Kuomintang bekerjasama dan bersatu dengan Parti Komunis China yang kecil pada ketika itu.
Kerjasama Parti Kuomintang, Parti Komunis China dan Soviet Union ini berjaya. Selepas dua tahun berjuang, Tentera Beiyang akhirnya berjaya ditewaskan.
Kuomintang bergaduh dengan Komunis
Bagaimanapun kerjasama Parti Kuomintang dan Parti Komunis China ini mula retak apabila Yat-sen meninggal dunia pada tahun 1925. Parti Kuomintang berpecah kepada dua puak: puak kiri dan puak kanan.
Puak kiri Kuomintang berpindah ke Wuhan. Puak kanan yang juga merupakan puak Kuomintang yang asli, kini diketuai oleh Chiang Kai-shek dan berpindah ke Nanjing.
Chiang Kai-shek kemudiannya bertindak ‘membersihkan’ partinya dari sebarang pengaruh Parti Komunis China. Ketika inilah insiden ‘Shanghai Massacre‘ berlaku pada tahun 1927, apabila beribu-beribu ahli Parti Komunis China dibunuh.
Puak kiri Kuomintang juga bertindah membunuh komunis di Wuhan. Tetapi lama-kelamaan, puak kiri ini terbubar sendiri. Ini menjadikan puak kanan yang diketuai oleh Chiang Kai-shek sebagai satu-satunya pemerintah China.
Pembunuhan komunis secara rasminya menamatkan kerjasama China dengan Soviet Union dan memulakan perang saudara dengan Parti Komunis China pimpinan Mao Zedong.
Perang saudara ini bermula pada Ogos 1927 dengan insiden Kebangkitan Nanchang. Insiden bersejarah ini bertanggungjawab menubuhkan Red Army, divisyen ketenteraan Parti Komunis China yang diketuai oleh Zedong.
Jepun datang lagi
Empat tahun kemudian pada tahun 1931, ketika perang saudara masih sedang berlangsung, Empayar Jepun datang menyerang lagi. Kali ini, Jepun menakluk pantai timur China dan Manchuria. Mereka kemudiannya menubuhkan kerajaan boneka yang dinamakan ‘Manchukuo’.
Ketibaan Jepun membuatkan Parti Kuomintang mahu menghentikan perang saudaranya dengan Parti Komunis China buat sementara waktu – untuk sama-sama menentang Jepun.
Tetapi yang peliknya, Chang Kai-shek sendiri tak setuju partinya ‘berdamai’ seketika. Beliau mahu perang saudara terhadap komunis diteruskan.
Situasi berubah pada 1936 apabila Kai-shek diculik oleh komander perangnya sendiri yang memaksa beliau untuk berdamai seketika dengan Parti Komunis China untuk menentang Jepun.
Tindakan drastik ini menjadi. Perang Sino-Jepun Kedua kemudiannya tercetus antara pakatan Kuomintang-Komunis ketika Jepun sedang giat mara ke ibu negara China pada ketika itu iaitu Nanjing. Di laluan mereka ke Nanjing, tentera Jepun membunuh beratus ribu orang awam dan tentera.
Jepun kalah
Pada tahun 1941, Jepun menyerang Amerika Syarikat melalui beberapa siri pengeboman di Pearl Harbour. Sebelum serangan ini, Amerika Syarikat tidak terlibat dalam Perang Dunia Kedua. Jepun melakukan serangan ini sebagai amaran supaya Amerika Syarikat tidak menganggu perang mereka di Lautan Pasifik.
Serangan Pearl Harbour ini secara rasminya membuatkan Amerika Syarikat menyertai Perang Dunia Kedua. Penyertaan Amerika Syarikat ini merupakan kesilapan terbesar Jepun yang akhirnya membawa kepada kekalahan Empayar Jepun selepas Hiroshima dan Nagasaki dibedil dua bom atom pada Ogos 1945.
Salah satu syarat yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ketika Jepun menyerah diri adalah mereka mesti mengembalikan kedaulatan semua negara jajahan mereka kepada rakyat negara tersebut. Termasuk Korea dan Taiwan yang ditakluki mereka sejak awal abad ke-19.
Jadi Taiwan yang sebelum ini diperintah oleh Dinasti Qing dipulangkan semula oleh Jepun kepada China.
Perang saudara China disambung semula
Kekalahan Jepun pada Perang Dunia Kedua bermakna perang saudara di China bersambung semula pada tahun 1946. Ketika ini, Parti Komunis China mendapat bantuan kuat dari Soviet Union. Parti Kuomintang pula mendapat bantuan dari Amerika Syarikat. Ini membentuk asas-asas Perang Dingin yang berlanjutan sehingga era awal 90-an.
Walaupun Parti Kuomintang mempunyai jumlah tentera yang lebih ramai, Parti Komunis China tetap menang. Ini membuatkan Parti Kuomintang terpaksa berundur ke Taiwan pada tahun 1949.
Pengunduran ini mengakhiri perang saudara. Parti Komunis China pula mengumumkan nama baru negara mereka sebagai Republik Rakyat China (People’s Republic of China). Sementara itu, Parti Kuomintang pula dibiarkan ‘buat hal sendiri’ di Taiwan.
Jika sebelum ini China dikenali dengan nama Republik China (Republic of China), pada 1971 ia berubah. Nama Republik Rakyat China (People’s Republic of China) pula dikenalpasti sebagai nama rasmi China.
Nama Republik China (Republic of China) pula dikenalpasti sebagai nama rasmi Taiwan.
Polisi One China
Selepas berdekad-dekad tidak mahu bercakap sesama sendiri, China dan Taiwan akhirnya memecah tradisi ini pada tahun 1992. Ketika inilah China dan Taiwan bersetuju untuk mematuhi polisi ‘One China’.
Di bawah polisi One China, kedua-dua negara perlu menghormati konsep China hanya ada satu. Dan Taiwan adalah wilayah China.
Polisi ini turut menjadi permulaan kebenaran rakyat China dan Taiwan menggunakan visa mereka untuk berkunjung antara satu sama lain. Hubungan perdagangan antara dua negara juga mula terbentuk hasil polisi ini.
Bagaimanapun di sebalik polisi One China, kedua-dua pihak berkeras mengatakan mereka ada hak memerintah China.
Kekaburan polisi One China dari segi teknikal membuatkan cucu-cicit pemimpin Parti Kuomintang bebas mentadbir Taiwan seperti sebuah negara bebas. Taiwan memilih sistem demokrasi dalam pentadbiran kerajaannya, mempunyai parlimen sendiri, kementeria sendiri, serta polisi dalam dan luar negaranya sendiri.
Tetapi kalau mengikut perspektif Parti Komunis China, Taiwan masih wilayah mereka.
Hubungan China-Taiwan jadi dingin
Hubungan Taiwan dengan China sebelum 2016 boleh dikatakan ada elemen hormat antara satu sama lain.
Tetapi dinamik hubungan ini berubah menjadi dingin pada tahun 2016 apabila Tsai Ing-wen dilantik menjadi presiden Taiwan.
Parti Ing-wen, Democratic Progressive Party merupakan parti yang mempunyai pendirian bahawa Taiwan adalah sebuah negara bebas, bukannya wilayah China. Pelanggaran polisi One China ini nyata tidak disenangi oleh Beijing.
Beijing menegaskan Taiwan akan disatukan dengan China pada satu hari nanti. Malah Beijing tidak teragak-agak untuk menggunakan kuasa tenteranya untuk mencapai objektif tersebut.
Taiwan pula menuduh China menggunakan kekuatan tenteranya untuk menakut-nakutkan mereka apabila Beijing beberapa kali melancarkan serangan misil ke laut. Rakyat Taiwan pula takut tindakan Beijing ini akan menganggu gaya hidup mereka yang demokratik.
Betul tak cakap kami bahawa sejarah Taiwan dengan China ini panjang dan kompleks?