Sambutan Hari Kesyukuran merupakan cuti umum yang diraikan di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Grenada, Saint Lucia, and Liberia. Pada mulanya, ia disambut sebagai manifestasi kesyukuran terhadap hasil tuaian pertanian dan juga rezeki yang diperolehi sepanjang tahun tersebut.
Amerika Syarikat meraikannya pada Khamis keempat dalam bulan November dan di Kanada pada Isnin kedua dalam bulan Oktober. Pada hari tersebut, keluarga akan berkumpul dan makan bersama-sama. Mereka akan mengimbau kisah setahun yang lalu dan membincangkan pelan bagi tahun berikutnya.
Biarpun berakar sebagai perayaan agama pada mulanya, Amerika Syarikat mengubah sambutan ini kepada satu tradisi dan budaya. Ini sejarah dan latar belakang disebalik sambutan Hari Kesyukuran tersebut.
Hari Kesyukuran pertama
Kira-kira empat abad yang lalu, sekumpulan petani yang berhijrah dari United Kingdom ke Amerika Syarikat mula menanam jagung. Kumpulan petani ini mengusahakan tanah di sekitar kawasan New England. Namun begitu, tanaman mereka pada tahun sebelumnya tidak menjadi akibat musim kemarau.
Pada tahun 1621, tanaman petani-petani ini mula membuahkan hasil. Maka, sambutan Hari Kesyukuran yang pertama adalah bagi meraikan hasil tuaian ini.
Mengikut sejarah, ia disambut selama tiga hari dengan Gabenor William Bradford turut sama meraikannya.
Sebab kesyukuran yang berbeza-beza
Sejak tahun 1789, Kongres mula meraikan Hari Kesyukuran selama beberapa hari. Presiden George Washington memulakan tradisi mengeluarkan proklamasi kerajaan sewaktu Hari Kesyukuran, dengan meminta rakyat Amerika agar menzahirkan rasa syukur terhadap kejayaan Perang Revolusi pada tahun 1783.
Selain itu juga, tahun 1789 merupakan tahun dimana Undang-Undang Tubuh Amerika Syarikat sebagai sebuah negara diraktifikasi. Maka, George Washington merasakan Hari Kesyukuran ini penting untuk disambut. Pengganti George Washington seperti Presiden John Adams dan James Madison turut meneruskan tradisi sama.
Namun begitu, hanya negeri New York mengambil tanggungjawab untuk menjadikan Hari Kesyukuran sebagai cuti umum. Bermula pada tahun 1817, beberapa buah negeri di utara mula mengikut jejak New York. Namun, Hari Kesyukuran kekal asing bagi negeri-negeri di selatan.
Hari Kesyukuran sebagai cuti umum negara
Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1827, penulis prolifik Sarah Josepha Hale memulakan usaha beliau. Sarah menulis di dada akhbar dan ratusan surat bagi kerajaan persekutuan mengumumkan cuti pada hari tersebut.
Pada abad tersebut, Sarah Josepha Hale merupakan penulis yang berpengaruh. Antara lagu tulisannya di dalam buku Mary And Her Little Lamb merupakan lagu terkenal iaitu “Mary Had a Little Lamb”. Lagu tersebut kekal dinyanyikan oleh kanak-kanak di seluruh dunia sehingga hari ini.
Kempen memohon cuti umum bagi Hari Kesyukuran berlangsung selama 36 tahun. Presiden Abraham Lincoln, pada tahun 1863 akhirnya meluluskan permohonan Sarah dan Hari Kesyukuran disambut di seluruh Amerika Syarikat sebagai cuti umum.
Usaha Sarah tanpa jemu selama 36 tahun tersebut dikenang sehingga hari ini. Beliau mendapat gelaran sebagai Ibu Hari Kesyukuran bagi rakyat Amerika Syarikat.