Masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan Malaysia bagaikan tidak berpenghujung. Masalah ini lebih jelas menimpa sektor industri kelapa sawit meskipun pelbagai usaha telah diambil oleh syarikat-syarikat terbabit. Kerajaan juga telah berusaha membantu demi menjaga kepentingan hampir setengah juta pekebun kecil.
Menurut data industri, 75 peratus pekerja dalam sektor industri kelapa sawit adalah tenaga kerja asing. Sewaktu pandemik melanda, terdapat kekurangan sekitar 37,000 pekerja dalam industri berkenaan. Jumlah tersebut meningkat selepas setahun dengan laporan menunjukkan sektor tersebut kini memerlukan 75,000 pekerja.
Kekurangan tenaga kerja ini memberi kesan buruk terhadap pengeluaran buah tandan segar kelapa sawit sehingga 25 peratus.
Cadangan penyelesaian oleh kerajaan
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerajaan sedang mempertimbangkan dua cadangan penyelesaian isu ini. Dua kaedah jangka pendek yang dianggap sesuai ialah dengan memperhebat Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) atau membawa masuk tenaga buruh asing baharu.
Program RTK merupakan suatu program khas untuk meregularisasikan PATI di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan. Bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat-syarat ketat yang diputuskan oleh Kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Program ini mula dilaksanakan pada 16 November 2020 dan sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2021. Program RTK dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja. Ia tidak dilaksanakan di negeri Sabah.
Risiko terhadap pengeluaran sawit
Industri minyak sawit Malaysia adalah sektor ekonomi utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada tahun 2020, industri ini menyumbang sejumlah RM73.25 bilion daripada hasil eksport dengan sumbangan KDNK sebanyak 3.6 peratus.
Malaysia juga menyumbang sebanyak 26 peratus kepada pengeluaran minyak sawit dunia. Minyak sawit Malaysia juga mewakili 34 peratus kepada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit dunia pada 2020. Maka, kekurangan tenaga kerja di dalam industri penting ini amat merugikan negara.
Pada masa ini, harga purata minyak sawit mentah adalah RM4,100 satu tan berbanding RM2,700 satu tan pada 2020. Jika tidak ditangani segera, isu itu boleh menyebabkan risiko kerugian terhadap syarikat berkaitan industri sawit.
Syarikat GLC seperti Felda dan FGV Holdings Bhd berdepan risiko kerugian sebanyak RM3.2 bilion setahun. Kerugian Felda dan FGV juga mencecah RM1.6 bilion untuk enam bulan pertama tahun ini dan kedua-duanya memerlukan 15,000 tenaga kerja.
United Plantations Bhd (UPB) yang berpangkalan di Perak juga sedang berhadapan kekurangan tenaga kerja yang teruk. UPB memiliki kira-kira 15 peratus pekerja tempatan dan 85 peratus pekerja asing. Sime Darby Plantation pula berhadapan dengan kekurangan seramai 2,500 pekerja.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila warga tempatan sendiri menjauhkan diri daripada industri ini sejak bertahun-tahun lamanya. Tanpa sebarang penyelesaian segera, ia akan terus merugikan industri sawit negara.