Industri pelancongan jelas memerlukan lebih banyak bantuan kerajaan sekiranya melihat kepada jumlah tempahan bilik hotel yang jatuh secara mendadak sejak tahun lalu. Inisiatif-inisiatif yang diumumkan semasa Belanjawan 2021 juga tidak banyak yang dilihat menyentuh soal kelestarian bidang pelancongan.

Anggaran Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menunjukkan kira-kira 120 hotel terpaksa ditutup sehingga kini, sama ada buat sementara atau sepenuhnya akibat pandemik Covid-19 yang menghadkan pergerakan. Puluhan ribu pekerja mereka juga kehilangan pendapatan, sama ada diberhentikan ataupun Modul perniagaan industri tersebut adalah berdasarkan pergerakan rakyat Malaysia dari satu tempat ke satu tempat, namun dengan pelbagai sekatan perjalanan sepanjang dua tahun ini, aktiviti-aktiviti pelancongan tidak dapat dijalankan.

Industri perhotelan rugi lebih RM6.5 bilion tahun lalu

Kredit gambar: https://web.facebook.com/hotelequatorialpenang/photos/a.759693977379357/4393593300656055

Sepanjang tahun lalu, industri perhotelan dianggarkan telah mengalami kerugian sebanyak RM6.5 bilion. Menurut Persatuan Hotel Malaysia (MAH), sektor perhotelan dijangka akan terus mengalami kerugian sebanyak RM9 bilion setakat tahun ini. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pula mengunjurkan industri pelancongan tempatan secara keseluruhannya mengalami kerugian sebanyak RM100 bilion tahun ini selepas berlaku gelombang ketiga Covid-19.

Sekiranya dibandingkan, pada tahun 2019 sektor pelancongan telah menyumbang 15.9 peratus (RM240 bilion) kepada KDNK negara.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan susulan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak pada bulan Mei tahun ini terus melumpuhkan industri perhotelan dan pelancongan. Menurut Majlis Pelancongan Malaysia, industri pelancongan memang sudah terkesan sejak tahun lepas lagi dan pelaksanaan PKP 3.0 menyukarkan keadaan untuk industri tersebut, menjadikannya semakin lumpuh.

Perjalanan panjang untuk kembali pulih

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/santai/2020/11/638194/tahun-mencabar-sektor-pelancongan

Melalui Pelan Pemulihan Negara, kerajaan membenarkan penduduk di negeri-negeri dalam Fasa 2 untuk merentas daerah. Secara tidak langsung, mereka dibenarkan untuk melancong dalam negeri masing-masing dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan pastinya akan mula membuka sektor ekonomi dengan segera. Yang terbaru adalah Negeri Sembilan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam telah memasuki Fasa 2 PPN.

Ini membuka peluang kepada sektor pelancongan terutama di Langkawi yang dipilih sebagai destinasi rintis ‘Program Covid-19 Free Destination’ jika inisiatif itu berjaya dilaksanakan kelak. Biarpun Langkawi masih berada di dalam zon merah, tetapi penerima suntikan vaksin satu dos mencecah 65,000 orang dan lebih 29,000 orang telah lengkap menerima dua dos suntikan. Rancangan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok akan dikecapi oleh pulau lagenda itu selewatnya penghujung bulan ini, dan membuka peluang untuk sektor pelancongan kembali bernyawa.

Biarpun begitu, jalan untuk sektor ini kembali semula ke tahun 2019 iaitu sebelum pandemik adalah masih jauh dan berliku.