Industri sawit merupakan tonggak kepada ekonomi Malaysia dan memainkan peranan penting membekal sumber makanan dan tenaga kepada populasi global yang semakin meningkat. Sawit adalah tanaman komoditi produktif dan minyak sawit pelbagai guna yang memainkan peranan penting dalam pelaburan, penyelidikan dan promosi teknikal.
Harga merupakan faktor terpenting dalam menentukan keuntungan sesuatu perusahaan. Bagi perusahaan sawit, harga sawit yang tinggi dengan kos pengeluaran yang kompetitif ketika ini telah menjadikannya sebagai satu perusahaan yang mampu menghasilkan pulangan yang lumayan.
Menurut laporan media, harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak ke paras tertinggi bulanannya sejak April 2009 bulan lalu kepada RM4,656 satu tan. Terdapat dua faktor utama yang meningkatkan harga ini iaitu kebimbangan pelabur terhadap pengeluaran yang lebih rendah di Malaysia dan impak cuaca kering terhadap pengeluaran tanaman kacang soya.
Setakat semalam juga, Malaysian Palm Oil Board (MPOB) melaporkan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal tinggi pada RM4,467 satu tan.
Faktor pertama: Pengeluaran dan inventori simpanan rendah
Beberapa faktor yang menyokong harga komoditi itu tinggi ketika ini dengan pendorong utama ialah permintaan kukuh dan pengeluaran yang rendah, terutama dalam tempoh kitaran pengeluaran tinggi antara Mac hingga September. Keadaan pengeluaran yang rendah itu mendorong inventori di negara ini dijangka menjadi rendah, sekali gus menyokong harga MSM.
Perintah Kawalan Pergerakan yang masih dilaksanakan serta kawalan kapasiti pekerja akan terus mengekalkan pengeluaran pada kadar rendah ini. Sekiranya bilangan kes Covid-19 yang kekal tinggi untuk bulan-bulan seterusnya, kadar pengeluaran ini mungkin tidak akan berubah dengan mendadak.
Selain itu juga, harga MSM mungkin akan kekal di atas RM4,000 satu tan untuk beberapa lama selagi permintaan masih menyokong dan pengeluaran tetap lemah. Perkara utama yang perlu diperhatikan di sini ialah paras stok di negara ini.
Pada bulan Mac yang lalu, jumlah simpanan minyak sawit Malaysia dilaporkan meningkat 10.7 peratus kepada 1.45 juta tan berbanding 1.31 juta tan bulan sebelumnya, namun berdasarkan asas tahunan, jumlah simpanan minyak sawit jatuh 16.3 peratus.
Faktor kedua: Pengeluaran kacang soya tidak menentu
Selain itu juga, peningkatan harga minyak kacang soya yang mencecah paras tertinggi 13 tahun di Chicago Board Of Trade (CBOT) turut membantu mendorong pengukuhan harga minyak sawit. Harga minyak kacang soya meningkat disebabkan laporan cuaca buruk dan tidak menentu di dua buah negara pengeluar terbesar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Brazil sekaligus mengganggu penanaman dan penuaian kacang soya.
Chicago Board Of Trade melaporkan harga minyak kacang soya telah meningkat sebanyak 100.78 peratus berbanding tahun lalu. Harga terendah yang dicatatkan pada tahun lalu adalah US$30.75 dan harga tertinggi yang dicatatkan pada tahun ini adalah pada US$73.74 bagi setiap tan.
Pengeluaran yang tidak menentu ini menjadi faktor mengingkatkan prestasi kukuh harga minyak kacang soya. Sebagai alternatif, sentimen terhadap pasaran minyak sawit bertambah baik sebagai pengganti utama kegunaan minyak sayuran dunia daripada minyak kacang soya.
Selain itu juga, terdapat isu-isu tempatan di Malaysia membabitkan pengeluaran minyak sawit disebabkan masalah buruh dan kurang pembajaan yang mempengaruhi hasil secara umum telah melonjakkan harga sawit. Kedua-dua faktor ini juga telah membantu melonjakkan harga minyak sawit dengan memecah rekod harga dalam sejarahnya. Pada sekitar bulan Mei tahun ini, minyak sawit mencatat harga tertinggi dalam sejarah iaitu pada harga RM4,758 bagi satu tan.