Selepas menilai pengalaman menyelaras ibadah haji pasca pandemik, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan mula memberikan kebenaran kepada 20,000 jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi akan menunaikan umrah. Kumpulan jemaah tersebut kini dilaporkan bakal mengunjungi tanah suci bagi mengerjakan ibadah umrah dalam masa beberapa hari lagi.
Ibadah umrah bagi rakyat Arab Saudi dan penduduk ekspatriat di negara itu, sudah dibuka semula mulai 25 Ogos yang lalu. Sebelum ini, Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais, mengarahkan semua ahli gabungan kompeten supaya memuktamadkan persediaan untuk menerima jemaah meliputi umrah di Masjidil Haram, Tanah Suci Makkah.
Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais turut meminta agar petugas terbabit berusaha sedaya upaya dan memastikan pelaksanaan semua langkah pencegahan di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi, Madinah, selaras kerja dan kelancaran cemerlang pada musim Haji tahun ini.
Negara yang masih tidak diberikan kebenaran
Namun begitu, menurut jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Hisham Bin Saeed, kebenaran bagi kemasukan jemaah antarabangsa adalah buat negara terpilih sahaja. Ini kerana setakat ini, kebenaran hanya diberikan kepada jemaah dari negara yang tidak terikat dengan larangan kemasukan oleh Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA).
Setakat ini, negara yang berdepan larangan perjalanan adalah India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ethiopia, Vietnam, Afghanistan dan Lubnan. Menurut laporan Saudi Gazette, larangan itu disebabkan oleh peningkatan berterusan kes Covid-19 dan mutasi variannya di negara-negara berkenaan.
Wajib daftar status vaksin sebelum ke Arab Saudi
Individu yang bercadang mengunjungi Tanah Suci diwajibkan melengkapkan pendaftaran data imunisasi Covid-19 secara dalam talian sebelum terbang ke negara itu, menurut pekeliling dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA). Menurut GACA, protokol itu akan memudahkan prosedur kemasukan dan mengurangkan masa menunggu di pintu masuk negara berkenaan.
Laporan Arab News memaklumkan, pendaftaran dibuka kepada semua warga dari negara Majlis Kerjasama Teluk, pemegang visa baharu, penduduk sama ada bagi yang sudah mendapat vaksinasi atau belum divaksin. GACA berkata, langkah itu antara inisiatif Kerajaan Arab Saudi untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19, selain bagi memastikan keselamatan warganya dan penduduk di sana.
Kerajaan Arab Saudi kini memberi kebenaran kepada penerima enam jenis vaksin untuk memasuki negara tersebut iaitu keluaran Pfizer BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson, Moderna, Sinopharm dan Sinovac.
Status ibadah umrah untuk rakyat Malaysia
Menurut Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), rakyat Malaysia dijangka akan berpeluang untuk mengerjakan ibadah umrah seawal tahun hadapan. Biarpun Arab Saudi sudah memberi kebenaran untuk jemaah luar negara termasuk dari Malaysia untuk mengerjakan umrah, faktor dalaman di negara ini mengakibatkan ia sukar dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.
Malaysia ketika ini sedang berdepan gelombang jangkitan Covid-19 yang tinggi malah perintah pergerakan juga dijangka tidak berakhir hingga hujung tahun ini. Setakat ini, Malaysia mempunyai halangan tersendiri termasuklah dari segi kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta permohonan MyTravelPass dari Kementerian Luar Negeri.
Menurut persatuan itu lagi, sekiranya kerajaan membenarkan umrah dilakukan, pihak agensi umrah akan mengikuti setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kedua-dua buah negara.