Kes positif Covid-19 yang dilihat meningkat secara mendadak sejak akhir-akhir ini adalah disebabkan oleh varian Delta. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, varian berkenaan merebak dengan cepat dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) antara 5 hingga 8. Sekiranya dibandingkan dengan virus Covid-19 pertama yang dikesan di Wuhan, China iaitu nilai Rt varian tersebut adalah sekitar 2.5 hingga 3.

Varian baharu Delta ini mula dikesan di India pada Oktober tahun lalu. Setakat ini, varian ini dibimbangi sudapun merebak hampir ke setiap negeri, menyebabkan berlakunya peningkatan kes mendadak di negara ini. Dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) yang tinggi, seramai 100 individu yang dijangkiti oleh varian Delta ini mampu menjangkitkan lebih 800 individu lain.

Varian ini merebak dengan cepat dan jangkitan ini adalah melalui udara. Dalam masa yang singkat sahaja individu lain boleh dijangkiti. Setakat 5 Julai, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan varian ini kini sudah merebak ke 96 buah negara dan dibimbangi akan terus merebak sekiranya proses vaksinasi masih perlahan.

Berikut merupakan lima perkara penting yang perlu anda ambil tahu tentang varian Delta menurut kajian Yale School of Medicine.

1. Varian paling berbahaya berbanding varian asal

Kredit gambar: https://www.who.int/en/activities/tracking-SARS-CoV-2-variants/

Delta merupakan nama kepada varian B.1.617.2. iaitu mutasi Covid-19 yang mula dikenalpasti di India. Kes pertama yang dikenalpasti dari varian ini muncul pada Disember 2020 dan kemudiannya ia merebak dengan pantas apabila menjadi menjadi varian utama di India dan juga United Kingdom.

Menuju akhir bulan Jun, varian Delta merupakan mutasi utama yang menjadi penyebab jangkitan Covid-19 di Amerika Syarikat. Menurut jangkaan Centers for Disease Control and Prevention (CDC), 20 peratus daripada jangkitan adalah berkait dengan varian Delta. Dan angka itu semakin bertambah dan mampu menjadi varian yang paling dominan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggelarkan varian ini sebagai versi Covid-19 yang paling pantas dan kuat. Varian ini merebak pada kadar 50 peratus lebih pantas berbanding varian Alpha dan 50 peratus lebih bahaya berbanding virus Covid-19 yang pertama. Di dalam satu-satu kawasan yang penduduknya belum divaksin dan tidak memakai pelitup muka, virus asal Covid-19 hanya akan mampu menjangkiti 2.5 orang. Namun bagi varian Delta, seramai 3.5 hingga 4 orang boleh dijangkiti dalam kawasan yang sama.

Kerana kadar jangkitan ini, varian Delta merebak dengan pantas. Kini, varian Delta dijangka akan terus menjadi varian dominan dalam masa yang singkat.

2. Golongan yang belum divaksin paling berisiko

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/835582/masih-ramai-pesakit-kritikal-tidak-dapat-ditempatkan-di-wad

Risiko paling tinggi adalah terhadap mereka yang belum menerima vaksin. Di Amerika Syarikat, terdapat sebilangan besar penduduk yang masih belum mengambil vaksin iaitu di negeri-negeri Selatan dan Appalachian termasuk Alabama, Arkansas, Georgia, Mississippi, Missouri, dan West Virginia, di mana kadar vaksinasi masih lagi rendah. Jumlah kes di beberapa buah negeri ini juga masih tinggi berbanding negeri lain.

Kanak-kanak dan golongan muda juga lebih cenderung untuk dijangkiti oleh varian Delta. Terdapat satu kajian dari United Kingdom yang menunjukkan bahawa kanak-kanak dan orang dewasa di bawah 50 tahun lebih cenderung untuk dijangkiti Delta. Setakat ini, tidak ada vaksin yang diluluskan untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun di Amerika Syarikat.

Ketika mereka yang berada di dalam kumpulan usia yang lebih tua telah lengkap menerima vaksin, mereka yang lebih muda dan tidak divaksinasi akan lebih berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19. Namun begitu, varian Delta nampaknya lebih memberikan impak yang besar terhadap kumpulan usia yang lebih muda berbanding varian-varian sebelumnya.

3. Varian Delta mampu menyebabkan hyperlocal outbreak

Kredit gambar: https://www.reuters.com/business/healthcare-pharmaceuticals/delta-covid-variant-becoming-globally-dominant-who-official-says-2021-06-18/

Sekiranya varian Delta terus merebak dengan pantas dan menjadikan pandemik tidak terkawal, persoalan terbesar adalah berapa ramai orang yang akan dijangkiti oleh varian Delta dan seberapa cepat ia akan merebak?

Jawapannya mungkin bergantung kepada lokasi kediaman anda dan kadar vaksinasi di kawasan tersebut. Varian ini mampu merebak dengan pantas kerana kadar vaksinasi yang masih belum lengkap sepenuhnya dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Di dalam beberapa kes, satu bandar yang mempunyai kadar vaksinasi yang rendah dan dikelilingi oleh bandar-bandar yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi akan mengepung varian tersebut di satu kawasan sahaja. Namun ia akan menyebabkan berlakunya hyperlocal outbreaks dan mengubah rupa pandemik ini, berbeza daripada keadaan asalnya dengan terdapat titik panas di beberapa kawasan di dalam sesebuah negara.

Beberapa orang pakar perubatan pada awalnya memaklumkan bahawa Amerika Syarikat sedang berada di kedudukan yang baik kerana kadar vaksinasi yang agak tinggi. Terdapat keadaan seperti berlakunya perlumbaan di antara varian Delta dan kadar vaksinasi. Namun begitu, jika Delta terus bergerak dengan lebih pantas dan menambah jumlah jangkitan di Amerika Syarikat, adalah sukar untuk menurunkan semula jumlah kes selepas itu.

4. Lebih banyak yang masih tidak diketahui tentang varian Delta

Kredit gambar: https://www.yalemedicine.org/news/5-things-to-know-delta-variant-covid

Persoalan penting kini adalah sekiranya varian Delta akan membuatkan pesakit lebih teruk daripada virus asal. Berdasarkan kadar hospitalisasi yang dikaji di United Kingdom yang varian Delta dikesan lebih awal berbanding Amerika Syarikat, variannya mungkin lebih merbahaya. Walaupun lebih banyak penyelidikan diperlukan, maklumat awal mengenai bahaya Delta merangkumi kajian dari Scotland yang menunjukkan varian Delta kira-kira dua kali lebih besar daripada Alpha sehingga menyebabkan kemasukan ke hospital terhadap individu yang masih belum divaksin. Vaksin dilihat mampu mengurangkan risiko tersebut dengan ketara.

Persoalan seterusnya adalah kesan jangkitan varian Delta terhadap tubuh badan. Terdapat laporan mengenai gejala yang berbeza daripada jangkitan Covid-19 yang asal. Gejala seperti batuk dan kehilangan deria bau tidak lagi menjadi simptom utama. Sakit kepala, sakit tekak, hidung berair, dan demam menjadi gejala utama berdasarkan tinjauan terbaru di UK, di mana lebih daripada 90 peratus kes adalah disebabkan oleh jangkitan varian Delta.

Kesan sepenuhnya vaksin terhadap varian Delta masih lagi di dalam kajian. Setakat ini, vaksin jenis mRNA dilihat masih lagi mampu mengekang varian Delta. Analisis oleh Public Health England (dalam kandungan pra cetak) menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya dua vaksin berkesan terhadap Delta. Vaksin Pfizer-BioNTech berkesan sebanyak 88 peratus terhadap penyakit simptomatik dan 96 peratus berkesan terhadap kemasukan ke hospital dari jangkitan varian Delta. Sementara vaksin Oxford-AstraZeneca yang bukan vaksin mRNA pula 60 peratus berkesan terhadap penyakit simptomatik dan 93% berkesan terhadap kemasukan ke hospital dari jangkitan varian tersebut. Kajian ini dibuat berdasarkan pesakit yang telahpun menerima dua dos lengkap suntikan vaksin Pfizer dan AstraZeneca.

Belum selesai tentang varian Delta, kita dikejutkan pula dengan penemuan mutasi Delta Plus. Mutasi ini telahpun ditemui di United Kingdom dan Amerika Syarikat dan juga berasal dari India dan pertama kali dikesan pada bulan lalu. Setakat ini, varian Delta Plus yang dikenali sebagai K417N masih lagi di dalam kajian pakar perubatan.

5. Vaksinasi masih lagi merupakan langkah terbaik

Kredit gambar: https://bm.soyacincau.com/2021/05/11/pusat-vaksinasi-bakal-beroperasi-7-hari-seminggu-2800-janji-temu-suntikan-astrazeneca-ditunda/

Apa yang penting pada waktu ini adalah proses pemberian vaksin dipertingkatkan bagi mengekang penularan varian ini sekali gus mengurangkan impaknya terhadap kesihatan mereka yang dijangkiti Covid-19. Pada waktu ini, amat penting supaya suntikan dos kedua diberikan dan mempercepatkan kadar vaksinasi bagi melindungi golongan yang paling berisiko.

Data awal juga menunjukkan individu yang sudah menerima satu dos suntikan vaksin juga boleh dijangkiti varian ini. Bagaimanapun, mereka yang menerima dua dos suntikan vaksin memiliki kadar perlindungan yang lebih tinggi.

Selepas menerima dua dos suntikan pula, anda perlu kekal berhati-hati selama dua minggu sebelum vaksin tersebut benar-benar membina antibodi di dalam tubuh badan. Sekiranya anda belum divaksin, teruskan dengan menjaga jarak sosial (social distancing), gunakan dua pelitup muka seperti yang disyorkan dan sentiasa jaga kebersihan diri dengan mencuci tangan sekerap mungkin.