Pandemik Covid-19 sebenarnya memberi impak kepada semua sektor ekonomi. Namun antara sektor yang paling terkesan adalah pelancongan yang tidak boleh beroperasi langsung di bawah Perintah Kawalan Pergerakan. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengunjurkan industri pelancongan tempatan mengalami kerugian RM100 bilion sepanjang tahun 2020 selepas berlakunya gelombang ketiga Covid-19.
Pulau Langkawi tidak ketinggalan menerima impak yang sama. Sepanjang tahun 2014-2018, pulau lagenda itu tidak pernah gagal menerima 3.6 juta pelancong setahun dan mencecah 3.9 juta pada tahun 2019. Sejak dilanda pandemik, Langkawi hanya mampu merekodkan kehadiran 1,802,602 pelancong sepanjang tahun 2020.
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan mampu menarik 800,000 pelancong ke Langkawi pada suku keempat tahun ini, menerusi Pelan Pemulihan Pelancongan (PPP) yang telah digubal. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib, angka itu akan lebih cepat dicapai menerusi gelembung pelancongan domestik yang dijangka dibuka semula pada September ini.
Mengikut statistik, seramai 296,000 pelancong melawat Langkawi pada suku pertama tahun ini dan sasaran LADA yang seterusnya pula adalah kemasukan purata 200,000 pelancong sebulan sepanjang suku keempat.
Inisiatif pulih ekonomi Langkawi
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bakal melaksanakan tiga inisiatif utama dalam usaha memulihkan semula ekonomi penduduk pulau peranginan itu yang kini terjejas teruk. Inisiatif pertama adalah pengecualian atau pengurangan kadar sewaan premis niaga dan bayaran yuran pengurusan produk komersial milikan LADA bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Manakala inisiatif kedua pula adalah dengan melaksanakan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM91,400 bagi membantu komuniti Langkawi memperbaiki kehidupan harian. Rancangan Pemulihan Pelancongan Langkawi (T-REC) 2021-2022 menjadi inisiatif ketiga dengan sasaran kedatangan 590,000 pelancong dan janaan pendapatan mencecah RM288.4 juta pada suku keempat tahun ini.
Menerusi inisiatif sama, LADA menyasarkan kedatangan 2.5 juta pelancong, sekali gus menjana RM1.17 bilion pendapatan pada tahun hadapan. Namun begitu, kejayaan T-REC perlu disokong beberapa strategi termasuk pulau pelancongan itu perlu mencapai imuniti kelompok dengan 76,400 penduduknya lengkap menerima dos vaksin Covid-19.
Hampir 70 peratus penduduk di Pulau Langkawi bergantung kepada pelancongan untuk pendapatan mereka merangkumi sektor penginapan, pengangkutan, runcit, makanan dan minuman serta perkhidmatan sokongan yang lain.
Jangkaan pembukaan pelancongan domestik mulai Oktober
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjangkakan industri pelancongan domestik dibuka semula pada Oktober ini, bergantung kepada perkembangan kes Covid-19. Mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri bulan lalu, kita akan berada di Fasa 3 pada bulan Oktober. Sektor ekonomi sosial boleh beroperasi sekiranya pekerja sektor tersebut selesai menerima dua dos vaksin.
Menurut menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, pihak kementerian sedang berusaha untuk memastikan semua pihak yang terbabit dalam sektor pelancongan supaya diberikan vaksin secepat mungkin. MOTAC mengambil tanggungjawab tersebut sebagai persediaan apabila industri itu dibuka semula kepada pelancong.
Sehubungan itu, untuk permulaan pihaknya mempunyai strategi untuk memastikan imuniti kelompok dicapai di lokasi pelancongan terkenal tempatan dengan dua tempat diberi tumpuan awal iaitu Pulau Langkawi dan Kuching.
Pulau Langkawi mempunyai populasi seramai 76,400 penduduk. Maka vaksinasi kepada 30,530 daripadanya sudah mampu menghasilkan imuniti kelompok, sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong untuk melancong ke sana. Selain itu juga, penduduk Langkawi yang rata-rata terlibat di dalam industri pelancongan juga akan lebih berkeyakinan untuk membuat segala persediaan bagi menyambut pelancong.
MOTAC juga dilaporkan mempunyai perancangan untuk menjadikan Kuching sebagai destinasi pelancongan domestik. Kementerian tersebut kini sedang usaha mengangkat bandar raya itu sebagai salah satu jaringan bandar raya kreatif di peringkat ASEAN dan UNESCO di bawah kategori gastronomi.